KUALA LUMPUR – Orang ramai diseru tidak membuat andaian yang boleh ganggu siasatan, atau menjejaskan emosi keluarga pelajar yang dilaporkan terjatuh dari tingkat 3 asrama di Sabak Bernam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, sebarang spekulasi berhubung punca kejadian, termasuk dakwaan wujudnya unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan.
“Buat masa ini, polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan individu yang berkaitan,” menurut kenyataan, pada Selasa.
Shazeli berkata kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak sejurus menerima laporan, berhubung kejadian melibatkan seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 yang dilaporkan terjatuh di sebuah sekolah.
“Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan sekillingnya,” katanya.
Shazeli berkata polis komited menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh, dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.



