Didakwa gagal tangani buli, keganasan di sekolah Fadhlina didesak letak jawatan

KUALA LUMPUR — Sekumpulan mahasiswa bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berhimpun di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, bagi menyerahkan satu memorandum menuntut pengunduran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Memetik laporan MalaysiaGazette di Putrajaya pada Khamis, tindakan itu susulan beberapa siri insiden buli, penderaan dan keganasan yang berlaku di sekolah serta institusi pendidikan, yang didakwa gagal ditangani secara sistemik oleh pihak kementerian.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Mohammad Azamuddin Sahar berkata, antara kes yang mencetuskan kemarahan orang ramai termasuk kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lalu, pelajar yang mengalami gegaran otak akibat dipukul, insiden murid dipaksa berbogel serta kes pelatih Palapes, Syamsul Haris yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, menurut statistik KPM, lebih 5,000 kes buli dilaporkan setiap tahun sejak 2023, sekali gus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan.

Sehubungan itu kataya, memorandum yang diserahkan menuntut lima perkara utama iaitu mahukan sokongan psikososial sekolah iaitu penambahan bilangan kaunselor, pembukaan talian hotline 24 jam dan kerjasama strategik dengan NGO psikologi.

“Perkara lain yang turut dituntut iaitu latihan trauma-informed untuk guru dan warden bagi memastikan mereka bersedia menangani kes buli dengan pendekatan berkesan dan empati.

“Membuat modul pendidikan ibu bapa iaitu mengiktiraf peranan keluarga dalam pencegahan buli serta membudayakan keibubapaan sihat.

“Melaksanakan pemantauan bebas sekolah seperti melaksanakan penubuhan panel pemantau luar dan pendedahan data kes buli secara telus kepada umum serta membuat pelan nasional anti buli, satu pelan tindakan komprehensif yang merangkumi sasaran, garis masa termasuk laporan berkala sebagai sebahagian daripada agenda kesejahteraan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kementerian, Ahmad Faiz Abdull Rashid.

Mengulas lanjut Mohammad Azamuddin menegaskan, memorandum tersebut turut menyuarakan keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, penggubalan SOP kes buli yang lebih jelas, kurikulum sivik yang lebih menyeluruh serta libat urus bersepadu antara komuniti, NGO dan pihak sekolah.

Beliau berkata, pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada KPM untuk memberikan maklum balas serta jaminan pelaksanaan terhadap tuntutan tersebut.

“Nyawa anak-anak bukan eksperimen dasar,” tegasnya sambil menyifatkan kegagalan berterusan KPM sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan keselamatan generasi muda.

“Sekiranya tiada tindakan diambil dalam tempoh yang ditetapkan, kami tidak menolak kemungkinan untuk menggerakkan himpunan rakyat dalam skala lebih besar sebagai tekanan kepada pihak kerajaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat