KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan kepada seluruh warga KPKM agar tidak ulangi kelemahan lama seperti kelewatan perolehan baja dan bantuan kepada pesawah.
Tambah beliau, kalau ada silap, jangan segan mengaku, apa yang penting kita berani lakukan pembaikan, lakukan reformasi dan Islah.
“Hari ini Bang Mat dan warga Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berhimpun dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KPKM bertepatan dengan bulan kemerdekaan tanah air kita yang ke-68. Bang Mat ingin ucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga KPKM, jabatan dan agensi. Semoga semangat patriotik terus subur dalam hati kita semua.
“Bang Mat nak ingatkan kepada seluruh warga KPKM, kita jangan ulangi kelemahan lama seperti kelewatan perolehan baja dan bantuan kepada pesawah. Kalau ada silap, jangan segan mengaku. Yang penting kita berani lakukan pembaikan, lakukan reformasi dan Islah.
“Penjawat awam adalah tunjang kepada kelangsungan negara. Menteri datang dan pergi, tapi penjawat awam yang menjadi harapan petani, pesawah dan nelayan. Maka semangat dan iltizam penjawat awam amat penting untuk menjayakan agenda keterjaminan makanan negara.
“Kita juga kena sedar, keterjaminan makanan kini menjadi isu dunia. Kerajaan akan terus sediakan infrastruktur terbaik, tapi Bang Mat juga menyeru petani untuk ada keazaman untuk mengubah sikap demi masa depan bersama,” kata beliau.
Dalam pada itu Mat Sabu bersyukur berjaya redakan beberapa isu besar sebelum ini seperti pemulihan bekalan ayam dan telur, penyelesaian isu beras putih tempatan, memulakan tanaman bawang, eksport durian serta kelapa untuk kurangkan jurang perdagangan negara.
“Semua ini hasil kerja keras semua warga KPKM.
“Bang Mat juga bangga bila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memuji KPKM atas komitmen tinggi mengangkat pertanian negara dengan pelbagai kejayaan, termasuk penganjuran MAHA 2024 dan HPPNK 2025.
“Kini anak muda semakin tertarik dengan pertanian, terbukti dengan kejayaan penanaman avocado di Tawau dan bawang di Kundasang, semua ini digerakkan oleh anak muda kita sendiri,” katanya.



