KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Ram Singh yang memohon perintah larangan bersuara (gag order) daripada Mahkamah Kanak-Kanak semasa prosiding bagi lima remaja yang dikaitkan dengan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad semasa ditemui di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini.
“Peguam Datuk Ram Singh,” jawabnya ringkas kepada pemberita apabila ditanya siapa yang memohon perintah larangan bersuara itu.
Ditanya mengenai apa yang boleh dilaporkan berikutan perintah larangan itu, Nor Azizah berkata, media boleh melaporkan bahawa pertuduhan sudah dibacakan dan remaja terbabit tidak mengaku bersalah serta butiran mengenai jaminan.
Beliau juga mengingatkan bahawa umur kelima-lima remaja itu tidak boleh didedahkan.
Dipercayai Datuk Ram Singh mewakili 1 daripada 5 tertuduh, beliau sudah lama berkecimpung dalam bidang perundangan dan didakwa cukup lama mengendalikan kes-kes berprofil tinggi di Malaysia.
Terdahulu, lima remaja yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, pagi tadi, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Nor Azizah berkata, semua tertuduh dibenar ikat jamin RM5,000 serta seorang penjamin dengan RM1,000 sebagai deposit.
“Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin,” katanya, lapor Harian Metro di Kota Kinabalu pada Rabu.
Berdasarkan pertuduhan, kelima-lima tertuduh mencapai niat bersama dengan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina di sebuah sekolah di Papar pada jam 10 hingga 11 malam, 15 Julai 2025.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.



