MERSING, 16 Ogos — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menitahkan Kementerian Pertahanan agar membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang dilaporkan telah berusia lebih 30 tahun.
Seri Paduka Baginda, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bertitah mengingatkan supaya kesilapan lampau tidak diulangi.
“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri,” titah Baginda.
Sultan Ibrahim turut menegur keras kewujudan ‘orang tengah’ dalam urusan perolehan pertahanan yang menyebabkan harga menjadi tinggi dan peruntukan kerajaan tidak mencukupi.
“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘agent’ atau bekas Jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’. Kalau semua pembelian kena ikut harga orang tengah maka peruntukan yang ada tidak akan cukup.
“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka Baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing, hari ini.



