Anthony Loke arah DAPSY seluruh negara lapor polis himpunan Pemuda Umno di kedai perkakas

KUALA LUMPUR – DAP menganggap tindakan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh melanggar larangan berhimpun di depan kedai perkakas di Kepala Batas, Pulau Pinang sebagai satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan dan dia telah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan Akmal mengetuai perarakan dan demonstrasi itu semalam walaupun amaran dari Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Pulau Pinang telah diberikan supaya tidak ada sebarang perhimpunan diadakan.

“Tindakan tersebut merupakan satu bentuk buli dan ugutan terhadap peniaga tersebut walaupun siasatan masih dijalankan dan beliau telah memohon maaf terhadap kesilapan pemasangan bendera.

“Tindakan Akmal tidak mengendahkan amaran pihak polis juga adalah satu perbuatan mencabar kedaulatan undang-undang dan mengganggu ketenteraman awam yang menyebabkan kegusaran peniaga-peniaga di sekitar kawasan tersebut sehingga mereka terpaksa menutup perniagaan mereka lebih awal.

“Perbuatan seperti ini adalah melampaui batas undang-undang dan norma masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan terhadap perbuatan melampau seperti ini,” bidas Menteri Pengangkutan itu dalam kenyataan media pada Jumaat.

Justeru, Anthony Loke mengarahkan sayap Pemuda DAP (DAPSY) di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kejadian semalam di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah (criminal intimidation), Seksyen 504 Kanun Keseksaan (sengaja mengeluarkan kenyataan mengaibkan dengan niat membangkitkan kekacauan), Seksyen 505 Kanun Keseksaan (mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam).

“Laporan polis juga akan dibuat di bawah seksyen-seksyen baharu untuk menangani buli iaitu Seksyen 507B Kanun Keseksaan (menyebabkan mangsa mengalami gangguan, distres, ketakutan atau kebimbangan) dan 507C Kanun Keseksaan (mengeluarkan kata-kata yang berkemungkinan menyebabkan mangsa terganggu, distres, takut atau bimbang).

“Saya sekali lagi menegaskan bahawa Jalur Gemilang sebagai simbol kedaulatan negara wajib dikibarkan dengan betul dan penuh penghormatan.

“Akan tetapi, perbuatan yang mengugut dan membuli, serta menimbulkan ketegangan bukanlah cara untuk menyelesaikan isu ini,” kata beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat