KUALA LUMPUR — Kerajaan menubuhkan High-Level Committee (HLC) Pembangunan Desa melibatkan 12 kementerian bagi menyelaras dasar dan pelaksanaan pembangunan luar bandar secara lebih bersepadu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata penubuhan HLC penting untuk menangani cabaran kompleks seperti pertindihan fungsi kementerian dan agensi, kekangan sumber serta pelaksanaan program secara berasingan.
“Jurang pembangunan antara bandar dan desa perlu ditangani segera agar 8.1 juta penduduk luar bandar tidak terus ketinggalan dalam arus kemajuan negara,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pertama HLC di Parlimen, hari ini.
Beliau merujuk laporan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) yang menjangkakan tiada negara ASEAN akan mencapai sepenuhnya Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) berkaitan pembangunan luar bandar menjelang 2030 tanpa penyelarasan menyeluruh melibatkan prasarana, tenaga kerja, modal insan dan pembasmian kemiskinan.
“HLC akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun atau mengikut keperluan, dengan enam bidang fokus utama pendidikan, pembangunan usahawan, ekonomi desa, teknologi dan pendigitalan, pelancongan desa serta infrastruktur.
“Antara agenda yang dibincang termasuk menaik taraf kemudahan sekolah luar bandar, mempromosi pelancongan desa, memperkukuh kebajikan warga emas dan golongan berkeperluan khas, serta menambah baik infrastruktur kesihatan,” katanya.
Beliau menambah inisiatif rentas kementerian yang telah dimulakan merangkumi sistem permohonan berpusat UP_TVET untuk kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program Inap Desa Tahun Melawat Malaysia 2026, Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D) sebagai platform keusahawanan, dan Sistem Tunggal Permohonan SBP-MRSM.
“Melalui HLC ini, kerajaan berhasrat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di desa, melahirkan tekno-usahawan luar bandar, memperkukuh peranan Lembaga Kemajuan Wilayah dan merancakkan sektor pelancongan desa,” kata Zahid.
Penubuhan HLC selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan pada 31 Julai lalu.



