Cyberjaya 11 Ogos 2025 – Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) semalam mengambil langkah tegas dengan menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), menuntut agar siasatan kes ugutan yang didakwa dilakukan oleh pihak NGO Semboyan dibuka semula.
Memorandum itu diserahkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya oleh barisan kepimpinan PKIPN bersama pengadu, Ahmad Faizal bin Sulaiman, seorang personaliti media sosial yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa ugutan, pencerobohan, dan fitnah berterusan oleh pihak berkenaan.
Menurut Ahmad Faizal, kesemua insiden yang berlaku selepas tarikh penghakiman terhadapnya di Mahkamah Majistret Selayang pada 23 Jun lalu telah memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan keluarganya. Pada tarikh tersebut, beliau mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil (AKK) 1955 kerana menyiarkan gambar seorang wanita dalam keadaan tidak bertudung menerusi siaran langsung TikTok. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100 dan kes tersebut dianggap selesai.
Namun, hanya dua hari selepas keputusan mahkamah, pada 25 Jun sekitar jam 3.20 petang, Ahmad Faizal mendakwa kediamannya di Ampang telah dikunjungi sekumpulan individu termasuk wanita yang terlibat dalam kes terdahulu dan seorang wakil NGO Semboyan. Beliau mendakwa mereka hadir tanpa notis, waran, atau janji temu, lalu mengetuk pintu rumahnya secara agresif.
“Saya berada di rumah bersama anak dan isteri ketika itu. Mereka memanggil saya keluar dan di hadapan saksi, wakil NGO tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa beliau boleh memastikan saya dipenjarakan setahun hanya dengan menghantar satu mesej kepada pihak pendakwa raya. Dia juga mendakwa ada hubungan rapat dengan pihak berkuasa dan boleh mempengaruhi tindakan undang-undang terhadap saya,” kata Ahmad Faizal ketika ditemui media selepas serahan memorandum.

Bimbang dengan ugutan tersebut, Ahmad Faizal membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah. Namun, beliau dimaklumkan kes ditutup kerana dianggap tiada unsur keganasan fizikal. Beliau menyifatkan keputusan itu tidak adil kerana ancaman lisan dan pencerobohan kediaman tetap memberi kesan trauma yang mendalam kepada mangsa.
Akibat kejadian itu, Ahmad Faizal bersama keluarganya berpindah ke Singapura selama hampir tiga minggu bagi menjamin keselamatan mereka. Namun, sepanjang tempoh itu, beliau mendakwa serangan berbentuk fitnah di media sosial semakin menjadi-jadi. Antara tuduhan yang dilemparkan ialah beliau menipu wang SGD$5,000, pernah dipenjarakan, dan dibebaskan menggunakan wang jaminan pihak ketiga – kesemua tuduhan itu dinafikan keras oleh Ahmad Faizal.
PKIPN dalam memorandum tersebut turut menegaskan bahawa penyebaran fitnah di media sosial dan ugutan secara terbuka oleh mana-mana pihak adalah satu bentuk keganasan psikologi yang tidak boleh dibiarkan. Presiden PKIPN berkata, tindakan itu melangkaui batas dan mencerminkan budaya “mengambil undang-undang di tangan sendiri” yang semakin menular.
“Undang-undang wujud untuk memastikan keadilan dan keselamatan semua rakyat. Tidak boleh ada pihak yang menggunakan pengaruh atau kekuatan kumpulan untuk mengugut orang lain. Jika ada kesalahan, biar mahkamah tentukan. Tugas kita adalah menghormati proses undang-undang, bukan menggantikannya dengan tekanan atau ugutan,” katanya.
PKIPN juga mendedahkan bahawa sebahagian daripada insiden pencerobohan itu dirakam dan disebarkan di platform TikTok, termasuk melalui akaun kedua milik wanita terbabit. Walaupun wajah Ahmad Faizal dipadamkan, identitinya tetap dapat dikenal pasti, sekali gus menjejaskan maruahnya di mata masyarakat.
Memorandum yang diserahkan kepada PDRM turut mengandungi kronologi kejadian, bukti-bukti berkaitan seperti rakaman video, tangkap layar mesej, dan pautan akaun media sosial yang dipercayai terlibat. PKIPN berharap bukti-bukti ini cukup untuk meyakinkan pihak polis membuka semula siasatan yang sebelum ini ditutup.
Dengan penyerahan memorandum ini, PKIPN menegaskan bahawa mereka akan terus memantau perkembangan kes, memberi sokongan penuh kepada mangsa, dan mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat. Mereka juga menyeru agar semua pihak menghentikan tindakan ugutan dan fitnah, serta menghormati keputusan mahkamah.
Bagi Ahmad Faizal, perjuangan ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga untuk mana-mana individu yang menjadi mangsa intimidasi atau keganasan siber. “Saya hanya mahu hidup aman bersama keluarga. Saya tidak mahu orang lain mengalami apa yang saya lalui,” katanya sebelum beredar dari balai polis.



