KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, menolak usul yang dikemukakannya minggu lalu untuk membahaskan isu berkaitan kematian Zara Qairina Mahthir.
Katanya Johari memaklumkan bahawa kementerian-kementerian berkaitan akan menjawab kes tersebut dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dijadualkan minggu depan.
“Saya tidak selesa kalau usul ini tidak dibenarkan kerana kementerian hanya mempunyai masa terhad untuk ucapan penggulungan dan banyak isu lain yang perlu mereka tumpukan,” katanya.
Justeru Afnan yang juga Ketua Pemuda Pas menggesa supaya diadakan sesi penjelasan khas menteri mengenai kes tersebut, sambil menegaskan banyak persoalan penting mengenai kematian Zara Qairina dan cara pihak berkuasa mengendalikan kes itu belum terjawab.
Tambahan pula, katanya, tiada penjelasan mengapa bedah siasat tidak dilakukan ke atas mayat remaha terbabit sejurus selepas kematiannya, dan mengapa polis tidak menahan atau mereman suspek dalam kes tersebut walaupun dilaporkan telah menyoal kira-kira 60 saksi.
Dia juga mendakwa terdapat dakwaan bahawa guru-guru di Sabah dilarang memberi komen mengenai kes tersebut atau sebarang insiden buli sekolah di negeri itu.
“Kalau (Fadhlina) belum fikir bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia akan menangani isu ini, kami ada beberapa cadangan.
“Antaranya menggubal akta antibuli dan menubuhkan jawatankuasa khas kabinet untuk menangani isu buli,” tambahnya.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Adun Lantikan dari Pas Sabah, Aliakbar Gulasan, yang berkata himpunan terbaru di negeri itu bagi menuntut keadilan untuk Zara Qairina menunjukkan perpaduan rakyat dalam isu tersebut, lapor Malaysiakini.
Menyifatkan himpunan itu sebagai “bersejarah”, dia yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu memberi amaran bahawa jika tidak diselesaikan segera, ia boleh mencetuskan “kebangkitan luar biasa” rakyat.
Pada malam Jumaat, ribuan orang berkumpul di beberapa bandar di Sabah menuntut keadilan untuk Zara Qairina selepas kematiannya bulan lalu mencetuskan kemarahan berhubung kes buli di sekolah.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.



