SEPANG, – Cubaan licik 16 warga Indonesia untuk memasuki Malaysia secara haram menggunakan helah laluan transit gagal apabila dikesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2), semalam.
Kesemua individu terbabit, terdiri daripada lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 57 tahun, tiba dari Surabaya, Indonesia dengan destinasi akhir ke Hatyai, Thailand. Namun hasil siasatan mendapati mereka sebenarnya berniat untuk kembali memasuki Malaysia secara tidak sah.
“Hasil soal siasat dan semakan melalui sistem MyIMMs mendapati 15 daripada mereka tersenarai hitam kerana pernah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, manakala seorang lagi gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” menurut kenyataan AKPS.
Modus operandi kumpulan itu dipercayai menggunakan khidmat ejen atau ‘tekong’ untuk ke Hatyai melalui transit di Malaysia, sebelum masuk semula ke negara ini menerusi ‘laluan tikus’ di sempadan utara demi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Ekoran itu, kesemua mereka dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan telah diusir serta-merta ke negara asal.
Dalam perkembangan berasingan, Pasukan Pemantau KLIA2 turut mengesan seorang pegawai penguat kuasa di kaunter rujukan yang memberi cop masuk kepada seorang warga India tanpa memenuhi syarat kemasukan. Pegawai terbabit telah dirujuk kepada Unit Integriti AKPS untuk siasatan lanjut.
AKPS menegaskan bahawa kawalan di semua pintu masuk negara akan terus diperketatkan dan tiada kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh masuk secara tidak sah.



