Saksi Kes Rasuah Guan Eng Diserang 10 Lelaki di Rumah

PETALING JAYA – Seorang saksi penting dalam perbicaraan rasuah yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang oleh sekumpulan lelaki di kediamannya di sekitar Petaling Jaya awal pagi tadi.

Memetik laporan Free Malaysia Today, seramai 10 individu dikatakan menceroboh rumah mangsa dengan terlebih dahulu menahan dan mengikat dua pengawal keselamatan sebelum bertindak menyerang mangsa secara fizikal. Akibat serangan itu, saksi terbabit mengalami kecederaan pada muka dan tangan.

Lebih membimbangkan, kumpulan penyerang dilaporkan turut mengeluarkan ugutan terhadap saksi tersebut, meminta agar dia “jangan cuba menjadi wira” dan hanya “duduk diam di rumah.”

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, mengesahkan insiden berkenaan. Menurutnya, pasukan siasatan jenayah telah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Kes terhadap Lim Guan Eng melibatkan dakwaan salah guna kuasa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, termasuk permintaan komisen sebanyak 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut negeri tersebut, serta tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3.3 juta.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan pecah amanah membabitkan pemilikan tanah kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat