KOTA KINABALU, – Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa status sebagai parti tempatan bukan tiket untuk dikecualikan daripada kritikan, apatah lagi jika terpalit dengan budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dalam ucapan lantang semasa program Jelajah Rakyat PN di Taman Megah Jaya sabtu lalu, beliau berkata rakyat tidak sepatutnya terpedaya dengan retorik “parti tempatan untuk rakyat Sabah” jika parti itu gagal menunjukkan ketelusan dan akauntabiliti.
“Parti lokal pun wajib ditolak jika rasuah. Jangan guna slogan ‘Sabah for Sabahan’ untuk lindungi salah laku. Integriti tak kenal sempadan negeri atau parti yang salah tetap salah,” katanya disambut tepukan hadirin.
Aliakbar berkata, sejarah politik Sabah telah menyaksikan banyak parti berasaskan kenegerian yang akhirnya gagal bertahan atau terpalit dengan skandal membuktikan bahawa semangat tempatan semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai prinsip pentadbiran yang bersih.
“Sudah banyak parti yang tumbuh atas semangat Sabah for Sabahan tetapi kini hilang dari radar. Sebab itu PN tampil dengan semangat ‘Sabah for Malaysia’ memperjuangkan hak negeri dalam kerangka negara yang adil, bersatu dan bebas rasuah,” tegasnya.
Aliakbar turut menyindir kelompok pemimpin yang hanya muncul musim pilihan raya untuk meraih simpati rakyat tanpa usaha berterusan membantu komuniti.
“Kita tak mahu pelakon politik. Kita mahu pemimpin yang benar-benar hidup bersama rakyat, bukan datang sekejap untuk selfie, lepas tu hilang,” ujarnya.
Siri jelajah yang menyaksikan kehadiran ribuan rakyat itu menjadi petunjuk awal bahawa PN sedang mengatur langkah lebih agresif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, dengan naratif baharu yang menolak politik sempit dan menjulang integriti sebagai tunjang perjuangan.-SuaraTV



