ROM – Itali merancang untuk membawa keluar puluhan kanak-kanak Palestin yang sakit dari Semenanjung Gaza bagi mendapatkan rawatan perubatan, susulan keadaan kemanusiaan yang semakin memburuk di wilayah tersebut.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata Rome sedang merangka pelan untuk menerbangkan sekitar 50 orang, termasuk kanak-kanak serta orang dewasa yang akan menemani mereka.
“Kami sedang usahakan misi kemanusiaan ini agar kanak-kanak tersebut boleh mendapatkan rawatan segera di Itali,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam masa sama, Itali turut mengumumkan penyertaan dalam misi penghantaran bantuan udara (airdrops) ke Gaza, yang telah dimulakan oleh beberapa negara sejak minggu lalu. Penghantaran pertama oleh Itali dijangka seawal 9 Ogos.
Sebagai tambahan, kerajaan Itali akan menyalurkan €5 juta (RM29.2 juta) lagi khusus untuk pembelian makanan kepada rakyat Gaza.
Ketika ini, pesawat dari Israel, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah mula menjatuhkan bantuan dari udara sejak Ahad lalu, selepas Israel mula membenarkan lebih banyak bantuan masuk ke Gaza selepas sekatan hampir menyeluruh selama beberapa bulan.
Pada Jumaat, Jerman dan Perancis turut menyertai misi airdrop ini, ketika kebimbangan mengenai kebuluran besar-besaran di Gaza semakin meningkat.
Namun begitu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa agensi bantuan antarabangsa menyifatkan kaedah penghantaran melalui udara ini sebagai simbolik semata-mata, dan menyarankan kaedah lebih berkesan melalui laluan darat yang lebih murah dan mampan.



