KOTA KINABALU, – Peguam mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi menggesa siasatan telus dan inkues segera berhubung kematian pelajar tersebut yang berlaku dalam kawasan asrama sekolah pada 17 Julai lalu.
Dalam kenyataan media bertarikh 1 Ogos, firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Puan Noraidah binti Lamat, menyatakan bahawa keluarga menolak kemungkinan Zara membunuh diri dan percaya terdapat unsur jenayah dalam kejadian tragik itu.
“Anak guam kami percaya bahawa Zara tidak membunuh diri. Sebaliknya, dia percaya wujud unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian Zara,”ujar kenyataan itu.
Peguam turut memaklumkan bahawa sejak hari kejadian sehingga 27 Julai, tiada maklumat atau kenyataan rasmi diberikan oleh pihak polis kepada keluarga atau media. Keadaan ini menimbulkan kerisauan bahawa kematian Zara tidak disiasat secara serius.
Hanya pada 28 Julai, Pesuruhjaya Polis Sabah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan sedang dijalankan, manakala pada 31 Julai, polis mendedahkan bahawa seramai 60 individu telah dipanggil memberi keterangan.
Pada 30 Julai, Puan Noraidah telah membuat laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang, menyerahkan rakaman perbualan telefon antara beliau dan arwah Zara.
Dalam rakaman tersebut, Zara mendakwa sering diganggu dan dibuli oleh pelajar senior termasuk seorang yang dikenali sebagai “Kak M” yang pernah mengugut dengan kata-kata, “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
Lebih membimbangkan, keluarga turut mempersoalkan kecederaan fizikal yang tidak sepadan dengan dakwaan bahawa Zara jatuh dari tingkat tiga. Wajah arwah didakwa tidak menunjukkan sebarang tanda luka atau lebam yang lazimnya dikaitkan dengan kecederaan jatuh dari tempat tinggi.
Peguam juga mendedahkan bahawa pihak sekolah pernah meminta agar tiada laporan polis dibuat satu tindakan yang menimbulkan keraguan terhadap ketelusan institusi terlibat.
Tiada Bedah Siasat, Permohonan Gali Semula Kubur
Menurut kenyataan itu lagi, tiada bedah siasat dilakukan sebelum pengebumian Zara, dan pihak keluarga percaya ini adalah kelemahan besar dalam siasatan awal.
“Bedah siasat akan membantu siasatan pihak polis dalam menentukan punca sebenar kematian Zara,”tegas mereka.
Sehubungan itu, keluarga telah memohon agar kubur digali semula bagi tujuan inkues, dan satu surat rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara di Kota Kinabalu pada 31 Julai, memohon pelaksanaan Seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bagi mengarahkan Majistret menjalankan inkues.
Menjawab spekulasi liar di media sosial, firma guaman itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa kematian Zara melibatkan ibunya.
“Tuduhan ini adalah tidak benar dan adalah satu fitnah jahat. Tidak ada ‘plot twist’ dalam kes ini,” ujar mereka, sambil menyeru orang ramai agar berhenti menyebarkan fitnah serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis atau kepada peguam mereka.
Akhir kenyataan, keluarga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menzahirkan sokongan dan menyebarkan maklumat berkaitan kes ini demi menuntut keadilan buat Allahyarhamah Zara. – Suara.TV



