Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan mengangkat dan meraikan peranan besar yang dimainkan oleh lebih 82,000 nelayan tempatan.
DOF akan menyertai HPPNK 2025 pada 1 hingga 3 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, melalui penyertaan reruai pameran yang memaparkan pelbagai inisiatif pembangunan sektor perikanan termasuk pendidikan, teknologi, inovasi dan kelestarian sumber marin.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata, sumbangan nelayan tempatan wajar terus dihargai kerana bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah turut menjamin kelestarian sumber marin negara.
HPPNK 2025 bukan sekadar platform mempromosi hasil perikanan dan agromakanan, malah turut memperkukuh penghargaan terhadap jasa komuniti nelayan.
Adnan berkata komuniti ini memainkan peranan penting sebagai tulang belakang industri perikanan negara dan penyumbang utama kepada sekuriti makanan rakyat Malaysia.
“Mereka bukan sekadar pengeluar hasil laut, tetapi wira barisan hadapan yang berjuang saban hari di lautan demi kelangsungan makanan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, seramai 105,287 orang nelayan telah direkodkan bekerja di atas vesel penangkapan ikan berlesen di seluruh negara sepanjang 2024.
Menurutnya lagi, 82,464 orang atau 78 peratus (%) merupakan nelayan tempatan, manakala selebihnya terdiri daripada tenaga kerja asing yang berdaftar secara sah.
Negeri Sabah pula mencatatkan bilangan nelayan tertinggi iaitu seramai 26,682 orang, diikuti Perak (16,210) dan Sarawak (10,743), manakala Johor, Terengganu dan Selangor turut menunjukkan penyertaan yang signifikan dalam sektor ini.
Katanya lagi, sejumlah 22,823 orang tenaga kerja asing telah direkodkan, melibatkan majoriti dari Thailand (8,819 orang), Indonesia (4,154 orang) dan Vietnam (1,623 orang).
Semua pengambilan ini dikawal rapi di bawah Akta Perikanan 1985 [Akta 317] dan tertakluk kepada kuota serta syarat kelulusan yang ketat.
Ujarnya, DOF sedang memperhebat pelbagai inisiatif ke arah mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, termasuk melalui penggunaan teknologi moden, pemerkasaan komuniti nelayan muda, serta insentif kepada pengusaha tempatan yang berdaya saing.
“DOF kekal komited untuk terus membela, memartabatkan dan memperkasakan peranan nelayan dalam pembangunan negara.
“Selain itu, DOF akan memastikan kesejahteraan komuniti nelayan kekal menjadi agenda utama melalui tadbir urus berasaskan prinsip mampan.
“Pindaan Akta 317 pada 2025 turut mencerminkan iltizam kerajaan untuk memperkukuh pengurusan sumber perikanan negara ke arah masa depan yang lebih lestari dan berdaya tahan, ”ujarnya lagi. -SUARA.TV



