PHNOM PENH, – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, hari ini merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump, atas inisiatif dan sokongan mereka dalam menjayakan rundingan damai antara Kemboja dan Thailand.
Penghargaan tersebut dizahirkan susulan kejayaan mesyuarat khas yang berlangsung hari ini, yang menyaksikan kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bermula jam 12 tengah malam (2400 waktu tempatan) pada 28 Julai 2025.
Dalam kenyataan rasmi beliau, Hun Manet menyifatkan rundingan ini sebagai “langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan serta keselamatan” di sempadan dua negara.
Semalam Kuala Lumpur menjadi tuan rumah mesyuarat khas kedua-dua negara yang dipengerusikan oleh Anwar dan turut dihadiri oleh wakil Amerika Syarikat.
Antara perkara yang dipersetujui dalam pertemuan bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand, H.E. Phumtham Wechayachai, termasuk:
- Pelaksanaan gencatan senjata tanpa syarat bermula 28 Julai 2025 jam 2400.
- Penganjuran mesyuarat tidak rasmi antara komander wilayah tentera kedua-dua negara (Wilayah Tentera 1 & 2 Thailand dan Wilayah Tentera 4 & 5 Kemboja) pada jam 0700 pagi, 29 Julai 2025, diikuti mesyuarat yang melibatkan atase pertahanan ASEAN jika dipersetujui bersama.
- Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) akan diadakan pada 4 Ogos 2025, dengan Kemboja sebagai tuan rumah.
Hun Manet turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China kerana sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada kedua-dua pihak untuk mencari jalan damai serta menyokong penganjuran mesyuarat khas ini.
“Saya percaya bahawa perjanjian gencatan senjata ini merupakan asas penting untuk membina kepercayaan bersama, memperbaiki keadaan semasa, dan membuka jalan ke arah pemulihan sepenuhnya dalam hubungan dua hala,” katanya.
Pertemuan bersejarah ini sekali lagi meletakkan ASEAN sebagai platform penting dalam menangani ketegangan serantau melalui jalan diplomatik dan perundingan damai.-Suara.TV



