PAS menolak dakwaan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail bahawa kerajaan hari ini memperkenalkan pendekatan baru yang lebih terbuka terhadap perhimpunan aman.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Fadhli Shaari berkata, kenyataan tersebut seolah-olah menafikan fakta sejarah bahawa himpunan aman telah diberi ruang sejak era pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lagi.
“Boleh jadi Menteri Dalam Negeri ini sudah lupa bahawa himpunan aman sejak era DS Najib lagi telah mula diberikan peluang untuk dilaksanakan dengan aman.
“Bukankah pada tahun 2019 himpunan ICERD telah dilaksanakan pada era pentadbiran Tun Dr Mahathir juga? Bahkan himpunan kebangkitan rakyat pada tahun 2013 juga telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada era pentadbiran DS Najib,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Fadhli, semua ini berlaku selepas kelulusan Akta Perhimpunan Aman 2011, yang menjadi asas kepada pelaksanaan perhimpunan secara sah dan tertib.
Justeru, beliau menyifatkan tindakan Saifuddin sebagai cubaan untuk membuat tuntutan berlebihan.
“Jadi janganlah nak ‘overclaim’ sangat,” katanya.
Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS Malaysia turut mempersoalkan ketiadaan himpunan besar oleh Pakatan Harapan selepas hubungan antara PAS dan PKR terputus.
“Setakat ini, selepas PAS dan PKR tidak bersama dalam satu pakatan, tiada lagi himpunan besar yang diadakan oleh Pakatan Harapan termasuklah ketika menjadi pembangkang sebelum PRU15 yang lepas,” tambah beliau.
Sebagai sindiran, Fadhli mencadangkan supaya kerajaan menganjurkan satu himpunan solidariti untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) – tanpa melibatkan penjawat awam dan pelajar sekolah – bagi menguji kekuatan sokongan sebenar terhadap kerajaan.
“Molek juga adakan satu himpunan solidariti untuk PMX tanpa kerahan penjawat awam dan pelajar sekolah. Kita tengok, boleh capai ke tidak separuh dari angka semalam,” katanya.



