KUALA LUMPUR – Kelompok rakyat B40 pastinya sangat menghargai pemberian bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerusi Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA)
Justeru Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata, pemberian RM100 itu tidak sepatutnya dipolitikkan, sebaliknya harus dilihat sebagai langkah prihatin kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah.
Ramanan berkata, tindakan memperlekehkan nilai bantuan berkenaan hanya mencerminkan kurangnya empati terhadap realiti kehidupan golongan berpendapatan rendah.
“Bagi mereka yang berada dalam kelompok T20, mungkin RM100 itu kecil, namun bagi golongan B40, jumlah ini amat bermakna. Ia boleh digunakan untuk membeli beberapa kilogram beras atau ayam bagi keperluan seisi keluarga,” katanya di Pulau Pinang malam tadi, lapor Bernama.
Ramanan menegaskan sebarang inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat wajar disokong, bukannya dipandang sinis atau diperlekehkan.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif utama di bawah Kerajaan Madani, termasuk pemberian RM100 secara sekali bayar kepada rakyat melalui program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya, dan subsidi harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.



