KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru rakyat Malaysia hadir beramai-ramai himpunan “Turun Anwar” di Dataran Merdeka esok sebagai satu langkah demokrasi untuk memberi kesedaran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas bekas Perdana Menteri itu , himpunan aman ini satu proses demokrasi yang perlu disokong oleh semua rakyat Malaysia yang terkesan dengan ketidakcekapan kerajaan hari ini.
Begitu juga katanya yang bosan dengan pembohongan yang tak sudah-sudah tiap kali Anwar buka mulut.
“Semakin hari rakyat tambah derita, kehidupan harian makin sukar. Ramai yang terdesak, tertekan hingga sanggup melakukan perkara yang tidak terfikir termasuk bunuh diri, bunuh mak bapa, bunuh anak dan bermacam lagi.
“Usaha untuk kaburi mata rakyat dengan memberi wang RM100, penurunan harga minyak beberapa sen hanya setelah rakyat dicukai sebegitu banyak. Ini umpama tangan kiri ambil tangan kanan beri tapi malangnya yang ambil lebih banyak daripada yang diberi.
“Harga barang keperluan tetap mahaL, selain itu, tindakan melanggar asas Perlembagaan dan penganiayaan terhadap orang yang bongkar salah laku dirinya berterusan
pelbagai usaha juga dilakukan untuk melemahkan institusi kerajaan agar ikut telunjuk pemerintah,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebooknya pada Jumaat.
Tegas Dr Mahathir lagi, Anwar tidak menang pilihan raya secara mutlak.
“Dia jadi Perdana Menteri dengan percaturan kuasa selepas pilihan raya dan ini bermakna dia bukan pemimpin pilihan rakyat.
“Oleh kerana itu himpunan ini berhak desak Anwar turun. Bukan sahaja dia bukan pilihan rakyat tetapi tanpa malu dia salah guna kedudukannya.
“Rakyat yang cintakan negara himpunan ini satu-satunya saluran yang dibenarkan dalam demokrasi untuk kita desak Anwar supaya letak jawatan.
“Oleh itu datanglah beramai-ramai supaya dia sedar bahawa rakyat sudah jelak, muak dengan kepimpinannya dan bosan dengan pembohongannya.
“Turun Anwar kamu telah khianati negara ini,” seru Dr Mahathir.



