KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bukan sahaja telah gagal mengurus negara dengan baik, malah memungkiri janji-janjinya kepada rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyelar sudahlah isu beban kos sara hidup rakyat gagal ditangani, banyak pula cukai baharu diperkenalkan dan subsidi dipotong yang menambah beban rakyat.
“Janji tatakelola yang baik dan jaminan hak kebebasan rakyat untuk bersuara juga dicabuli.
“Semakin ramai rakyat biasa yang diugut, disiasat dan didakwa hanya kerana menyatakan bangkangan mereka terhadap dasar dan tindakan kerajaan. Ini menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat,” bidas Presiden Bersatu itu dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, kata bekas Perdana Menteri itu lagi, tindakan mengumumkan bantuan RM100 dan penurunan harga petrol RON95 sebanyak 6 sen adalah langkah terdesak Anwar untuk mengekang perasaan tidak puas hati rakyat.
“Ini bukanlah suatu tindakan yang betul untuk menangani masalah kos bebanan kos sara hidup. Yang rakyat mahukan ialah kerajaan mengkaji semula pengenaan pelbagai bentuk cukai dan pemotongan subsidi yang membebankan mereka. Ini tidak dilakukan.
“Banyak wang yang dipungut dari rakyat, yang dipulangkan hanyalah sedikit. Ia sudah terlambat,” tegas Ahli Parlimen Pagoh itu.
Justeru Muhyiddin menyeru esok akan berlangsung perhimpunan aman Turun Anwar di Kuala Lumpur.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk datang beramai-ramai menyertai perhimpunan ini bagi menunjukkan sikap terhadap kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya memohon pihak polis supaya menjaga keamanan dan ketenteraman sepanjang perhimpunan ini berlangsung. Saya juga meminta supaya peserta perhimpunan menjaga adab dan tatasusila serta patuh kepada undang-undang.
“Jangan cetuskan sebarang provokasi yang mengganggu ketenteraman awam. Ingat, menyertai perhimpunan aman adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada sesiapapun yang boleh menghalangnya.
“Justeru, jaga dan peliharalah hak ini dengan sebaik-baiknya. Saya dan rakan-rakan pimpinan PN akan menghadiri perhimpunan Turun Anwar esok. Ayuh, kita turun beramai-ramai esok! seru beliau.



