KUALA LUMPUR – Blok pembangkang mengemukakan usul untuk merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan berkenaan susulan kenyataan Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berhubung isu tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad membabitkan kes Pulau Batu Puteh.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas menegaskan, usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 36(12) atas dakwaan Perdana Menteri telah mengelirukan Dewan Rakyat berhubung status Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
“Kuasa siapa untuk menuduh dan mendakwa seseorang? Adakah kuasa Perdana Menteri?
“Adakah ini satu pengesahan daripada Perdana Menteri bahawa beliau campur tangan dalam urusan perundangan?” soalnya ketika sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.
Perdana Menteri pada Selasa memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh atas alasan sudah berusia 100 tahun.
Anwar bagaimanapun berkata, Kabinet tetap berpendirian bahawa Dr Mahathir bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan pulau berkenaan dengan begitu mudah.
Rentetan itu, Dr Mahathir menerusi hantaran di media sosial secara sinis menegaskan bahawa beliau tidak memerlukan sebarang imuniti, termasuk faktor usia, sekiranya kerajaan menuduh beliau bersalah.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga pengamal undang-undang merangkap Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, keputusan untuk menentukan pendakwaan terhadap mana-mana individu merupakan kuasa Jabatan Peguam Negara.



