KUALA LUMPUR – Pas mengkritik pengumuman ikhtiar ‘segera’ yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa bertujuan mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun 26 Julai ini.
Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari berkata, hanya bantuan RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia (bernilai keseluruhan RM2 billion) yang kelihatan menarik dari pengumuman hari ini.
“Selain itu, ia hanyalah pengumuman biasa dan boleh sahaja diumumkan pada bila-bila masa terutama menjelang Bajet 2026 nanti.
“Tetapi terpaksa diumumkan segera kerana ingin mengurangkan momentum kemarahan rakyat untuk turun 26 Julai ini.
“Umpamanya, tidaklah padan dengan teaser yang ditayangkan seminggu sudah seolah-olah filem pecah panggung, rupanya filem cap ayam menggunakan software ciplak untuk proses editing,” dakwa Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.
Sementara itu, Fadhli menempelak, RON95 turun 5 sen, tidak padan dengan pengumuman seorang Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen.
“Harga lantai padi naik? Tapi tanyalah pesawah diesel naik, baja naik, mesin rosak, semua naik.
“Kos pengeluaran jauh lebih tinggi daripada harga lantai. Yang untung bukan pesawah tp tauke.
“RM2 billion bantuan tunai tiada apa-apa erti berbanding RM7.5 billion hasil penyasaran subsidi diesel.
“Tiada yang berimpak jangka masa panjang. Hanya pengumuman biasa. Turun tetap Turun! 26 Julai jumpa di Kuala Lumpur,” tegasnya.



