KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beberapa langkah meredakan kos sara hidup rakyat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua.
“Sukacita diumumkan bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos 2025, setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program SARA.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai kedai runcit di semua daerah seluruh negara,” umum Anwar pada Rabu.
Jelas beliau, bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah.
“Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
“Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini. Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” saran Perdana Menteri.
Rasional ikhtiar ini kata Anwar sejajar kos sara hidup kekal sebagai tantangan yang mesti ditangani dengan bijaksana dan segera.
“Diakui bahawa meskipun kadarinflasi keseluruhan Jun 2025 adalah pada 1.1 peratus — iaitu terendah dalam tempoh 52 bulan, namun kenaikan harga makan minum terus melebihi purata inflasi.
“Justeru, dengan penuh rasa tanggungjawab, saya mengumumkan beberapa ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup serta sebagai penghargaan dan meraikan rakyat,” ujar Perdana Menteri.



