CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap satu komen berunsur jelik melampau yang dimuat naik di Facebook, melibatkan Institusi Diraja berkaitan isu pelantikan Ketua Hakim Negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan pihaknya telah merakam keterangan individu terbabit di Balai Polis Kg Melayu Subang, Selangor pada 21 Julai. Turut disita bagi membantu siasatan ialah satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM milik individu berkenaan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC dalam masa sama menyeru orang ramai supaya sentiasa menggunakan platform media sosial secara beretika, berhemah dan bertanggungjawab.
“Elakkan penyebaran kandungan jelik melampau, hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman negara, khususnya yang melibatkan Institusi Diraja,” katanya.



