KUALA LUMPUR – Lebih 3,400 projek pelaburan diluluskan dan lebih 86 peratus daripadanya telah dan sedang direalisasikan serta mula beroperasi, mencipta puluhan ribuan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan dalam aspek ekonomi Kerajaan Madani mencatatkan pencapaian yang sangat positif.
“Saya sentuh prestasi ekonomi negara yang menyaksikan pertumbuhan kukuh sektor digital dan hijau, sekali gus melonjakkan daya saing kita di peringkat global.
“Kejayaan ini hasil kerjasama dan komitmen penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan secara berkesan,” kata Anwar.
Ujar Menteri Kewangan itu lagi, kerajaan ini menanggung beban hutang tinggi yang diwarisi ketika mengambil alih pentadbiran dengan defisit fiskal pada tahap 5.5 peratus pada 2022.
“Alhamdulillah, usaha kita mencatat perkembangan positif apabila ia menurun kepada 4.1 peratus tahun lalu, dan kita sasarkan 3.8 peratus tahun ini.
“Jumlah hutang tahunan kerajaan juga dikurangkan secara progresif dari RM99 bilion pada 2022 kepada RM77 bilion pada tahun lalu.
“Ringgit juga terus mengukuh, meningkat prestasi daripada RM4.70 kepada sekitar RM4.25 berbanding dolar AS, menjadikannya antara mata wang terbaik di Asia ketika ini.
“Saya menyeru semua pihak supaya terus menjaga kestabilan politik dan ekonomi negara, serta bersama menolak sebarang usaha mencetuskan ketegangan yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat,” katanya.
Dalam perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pagi ini Anwar menzahirkan penghargaan buat Jakim dan Yadim yang berjaya mengatur pertemuan bermakna antara ulama dan pimpinan negara bagi memperkukuh kefahaman serta pelaksanaan dasar Madani.
“Saya tegaskan peranan penting institusi pengajian tradisional seperti pondok dan maahad tahfiz dalam mempertahankan akidah umat.
“Institusi ini perlu lebih dinamik dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT,” katanya.



