MCMC Siasat Dakwaan Palsu Libatkan Institusi Diraja, Individu Sudah Dirakam Keterangan

CYBERJAYA, – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap kandungan berunsur palsu yang menyentuh Institusi Diraja, selepas ia dimuat naik oleh seorang individu melalui akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Menurut MCMC, kandungan tersebut dipercayai mengandungi dakwaan tidak benar kononnya Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan awal berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara. Dakwaan itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah turut menjejaskan integriti sistem perundangan negara serta kewibawaan Institusi Diraja.

Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil untuk memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 2.30 petang tadi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang kandungan palsu yang membabitkan isu Agama, Kaum dan Institusi Diraja (3R). Suruhanjaya itu menegaskan komitmennya untuk terus memantau dan mengambil tindakan tegas bagi memastikan ruang siber tidak disalahgunakan untuk menyebarkan naratif palsu atau menggugat proses demokrasi dan tadbir urus negara.

MCMC turut menegaskan bahawa usaha ini sejajar dengan prinsip mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keharmonian masyarakat.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat