TORONTO – Perjalanan udara di sebuah lapangan terbang paling sibuk di Kanada terjejas seketika selepas pihak polis menerima laporan sebuah pesawat kecil dirampas, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa.
Polis Diraja Kanada (RCMP) di wilayah British Columbia memaklumkan menerima laporan sebuah pesawat jenis Cessna 172 dirampas dari kawasan Pulau Vancouver dan sedang memasuki ruang udara berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver kira-kira pukul 1.10 petang (waktu tempatan).
Menurut kenyataan itu lagi, suspek merupakan satu-satunya individu yang berada dalam pesawat tersebut, AFP.
“Pesawat itu mendarat di Vancouver pada pukul 1:45 petang (waktu tempatan) dan suspek sudah ditahan tanpa sebarang insiden,” kata RCMP sambil menolak untuk mengulas lanjut ketika ini.
Gambar yang disiarkan oleh penyiar awam CBC menunjukkan pesawat kecil berwarna putih itu dikelilingi beberapa kenderaan keselamatan di landasan selepas ia mendarat di Vancouver.
CBC turut melaporkan pesawat Cessna tersebut dikendalikan oleh sebuah kelab penerbangan di Victoria, ibu negeri wilayah British Columbia yang terletak di Pulau Vancouver.
Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Vancouver memaklumkan sembilan penerbangan masuk terpaksa dialihkan semasa insiden itu tercetus, dengan operasi di seluruh lapangan terbang dihentikan buat sementara waktu di bandar pantai barat Kanada itu.



