Sanusi pertimbang tanam kopi di kawasan hutan Kedah

KUALA LUMPUR – Kedah sedia pertimbang memanfaatkan kawasan hutannya bagi meluaskan industri tanaman kopi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Nor berkata, kaedah penerokaan baru itu mampu meningkatkan pelaburan langsung domestik (DDI) sekali gus menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Untuk DDI, kita boleh teroka benda baru, macam idea tanam kopi dalam hutan. Di Indonesia ada pulau dan kawasan hutan mereka tidak usik, jadi di bawah itu (kawasan hutan), mereka tanam kopi.

“Saya telah melawat kawasan tanaman kopi dalam hutan di Indonesia. Selepas itu, saya panggil pengarah hutan Kedah, kita bincang, mungkin kita boleh usahakan benda sama di Kedah sebab kita ada lebih 344,000 hektar kawasan hutan,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara DXN Holdings Bhd dan Invest Kedah Berhad di Cyberjaya lapor FMT.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN Lim Siow Jin, Setiausaha Kerajaan Kedah Norizan Khazali dan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Haim Hilman Abdullah.

Sanusi berkata, selain kopi, cendawan dan industri hasil laut juga mampu memberi pulangan baik kepada ekonomi Kedah sebagaimana diusahakan DXN.

“Ada banyak benda kita boleh teroka. Cendawan asli banyak dihasilkan dari Kedah. Jadi, kita di Kedah ada banyak tempat sesuai untuk diteroka.

“Kita galakkan lebih banyak lagi DDI di Kedah. Mereka boleh teroka kawasan dari pelbagai sudut termasuk melibatkan aktiviti laut,” katanya.

Sanusi berkata, Kedah kini berada di landasan betul dalam usaha membangunkan ekonomi sambil menyatakan negeri itu berada di tangga tertinggi sektor pembuatan Malaysia, selain menerima pelaburan ketiga terbanyak secara keseluruhan.

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta agensi kerajaan persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.

Dalam pada itu, Sanusi memuji DXN yang bertapak di Jitra sejak 1995 kerana berjaya memasarkan produk ke 180 negara dengan 20 juta ahli, dan 100 peratus pekerja rakyat tempatan majoriti dari Kedah.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat