KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi didesak untuk meletakkan jawatan Perdana Menteri bagi memberi ruang kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pelantikan hakim mengambil tempat.
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Anwar hendaklah mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan, barulah sebuah RCI yang bebas dapat ditubuhkan untuk menyiasat sebarang salah laku dan ketidakpatuhan undang-undang dalam pelantikan hakim.
Ini sekali gus katanya, pelantikan hakim-hakim juga tidak lagi dikaitkan dengan kepentingan peribadi Perdana Menteri.
Menurut Presiden Bersatu itu, hakim mestilah seorang yang berintegriti hal ini kerana tugas dan tanggungjawab seorang hakim amatlah berat. Keputusannya boleh menentukan kebebasan atau hidup mati seseorang.
“Seorang hakim yang berintegriti akan membuat keputusan hanya berlandaskan undang-undang dan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih (without fear or favour). Keadilan tentunya akan tertegak apabila mahkamah bebas dan hakim berintegriti.
“Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 menetapkan integriti, kompetensi dan pengalaman sebagai kriteria utama pelantikan seorang hakim. Ini bermakna anggota JAC dalam membuat penilaian kelayakan seseorang untuk disyorkan pelantikannya sebagai hakim perlulah meneliti aspek integriti individu tersebut.
“Kini laporan media mengenai kemelut pelantikan seorang hakim mahkamah atasan mendapat perhatian umum. Bekas Ketua Hakim Negara dilaporkan membangkitkan di dalam mesyuarat JAC tentang masalah integriti seorang hakim ketika beliau menjawat jawatan Peguam Negara.
“Dakwaan ini terkandung di dalam Minit Mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang bocor. Antara dakwaannya ialah hakim tersebut pernah meminta supaya penghakiman satu kes dibuat memihak kepada pihak tertentu dan memindahkan seorang hakim yang tidak sehaluan dengan pendapat Peguam Negara,” kata bekas Perdana Menteri itu.
Justeru menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, ini suatu dakwaan salah guna kuasa dan campur tangan dalam badan kehakiman yang serius.
Tegas Muhyiddin, hak dan kebebasan seseorang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah terjejas sekiranya perbuatan ini benar-benar wujud.
“Bagaimana seorang individu boleh mendapat jaminan keadilan bagi dirinya jika penghakiman sesuatu kes boleh dipengaruhi oleh pihak yang berkuasa.
“Kedudukan badan kehakiman sebagai benteng terakhir seorang individu untuk mendapatkan keadilan bagi dirinya akan terhakis.
“Sekiranya dakwaan ini benar, pelantikan hakim tersebut juga adalah bercanggah dengan Seksyen 23(2)(a) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 mengenai integriti hakim.
“Justeru, dakwaan ini mestilah disiasat dan tindakan pembetulan hendaklah diambil dalam proses pelantikan hakim-hakim supaya rakyat terus yakin terhadap badan kehakiman sebagai penegak keadilan,” ujarnya.
Tambah Muhyiddin lagi, lebih membimbangkan dakwaan ini juga berkait rapat dengan masalah yang lebih besar iaitu dakwaan campur tangan badan eksekutif dalam pelantikan hakim-hakim membabitkan Perdana Menteri yang mempunyai kepentingan dalam satu kes mahkamah yang serius.
“Ini membangkitkan suatu kebimbangan yang munasabah bahawa Perdana Menteri juga tidak akan meletakkan integriti sebagai pertimbangan utama dalam pelantikan hakim.
“Pertimbangan kepentingan peribadi berkemungkinan besar akan mengatasi faktor integriti.
“Apatah lagi jika hakim yang didakwa terbabit dengan masalah integriti dilantik ke jawatan yang lebih tinggi dalam badan kehakiman.
“Saya bimbang sekiranya integriti tidak lagi menjadi asas pertimbangan yang penting dalam pelantikan hakim-hakim, keadilan boleh dijual beli,” katanya.



