Lebih 700 AW sertai MALPTAAC Siri 16, medan terbaik uji kesiapsiagaan

Oleh Zihan Zari

SABAK BERNAM – Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 16 menjadi medan terbaik bagi menguji tahap kesiapsiagaan, kemahiran, memupuk semangat berpasukan, meningkatkan disiplin, perkasa jati diri serta patriotisme.

Perkhemahan tahunan ini berlangsung selama dua minggu bermula 10 hingga 24 Julai 2025 di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) menghimpunkan lebih 700 Askar Wataniah (AW) dari 17 politeknik seluruh negara.

Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Hj. Mohd Daud Isa berkata MALPTAAC merupakan kolaborasi strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Peserta yang berkampung di sini akan menjalani latihan serta aktiviti ala tentera yang lasak hasil tunjuk ajar daripada 12 Rejimen Siri 500 AW bagi memastikan anggota AW politeknik sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pembukaan MALPTAAC 2025 Siri 16/2025, di Dewan Seri Lang PSIS dekat sini, pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bahagian Pasukan Simpanan (BPS), Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Hj. Sani S. Omar; Komander Rejimen 502 AW, Kolonel Hj. Ridzwan Shoib; Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin; Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Orang Besar Daerah Sabak Bernam, Dr. Hj. Paridul Adras Ismail; dan Pengarah Bahagian Kurikulum, JPPKK, Dr. Zamzam Mohd Walid.

Mohd Daud berkata, MALPTAAC bukan sekadar program latihan kokurikulum semata-mata, sebaliknya ia digerakkan berteraskan inspirasi Malaysia Madani yang menerapkan pembangunan modal insan seperti yang digagaskan berdasarkan Wawasan Kemakmuran bersama 2030.

Latihan ini menjadi platform pengukuhan dan penilaian terhadap apa yang telah dipelajari oleh anggota AW di bilik kuliah, latihan tempatan, latihan berterusan serta latihan tambahan ketenteraan lain seperti kemahiran berkawad, ilmu medan perang, pengurusan logistik dan disiplin operasi dinilai secara langsung dalam suasana sebenar .

Menurut beliau, melalui aktiviti berkumpulan para peserta belajar untuk meletakkan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan peribadi, satu nilai yang amat penting dalam membentuk masyarakat yang harmoni.

Menurutnya lagi, setiap penilaian aktiviti MALPTAAC serta semangat kerjasama menjadi tunjang dalam menentukan kejayaan pasukan melalui aktiviti pandu arah, ujian jalan laju, ujian kemahiran menembak senjata Colt M16, sukan ketenteraan dan Program Jiwa Murni Madani.

Katanya, melaksanakan arahan disiplin merupakan teras kepada pembentukan watak seorang pemimpin dan warganegara yang bertanggungjawab .

“Kepatuhan kepada arahan yang sah, ketepatan masa, dan komitmen melaksanakan tugas secara tegas dan sempurna adalah antara nilai yang diterapkan sepanjang latihan ini .

“Nilai ini akan memberi kelebihan apabila peserta memasuki alam pekerjaan kelak, sejajar dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi ingin melihat beberapa anjakan dalam membina kemenjadikan tradisi keintelektualan Universiti, Politeknik, dan Kolej Komuniti,”katanya.

Ujarnya, peserta akan diberi tanggungjawab untuk memimpin kumpulan, membuat keputusan penting, dan menyelesaikan masalah dalam keadaan tekanan, kelak mereka menjadi pemimpin yang yakin, berwibawa, dan rasional.

“Dengan adanya latihan Operation Build -Up Area (OBUA) seperti latihan menyelamat tebusan, peperangan dalam bangunan dan memastikan kawasan tanggungjawab selamat boleh dijadikan asas kejayaan latihan MALPTAAC kali ini,”ujarnya lagi.

“Kolaborasi KPT dan MINDEF bukan sahaja memperkukuh hubungan dua kementerian penting negara, malah menyokong aspirasi ‘Whole of Government and Society’ (WOGOS) yang digariskan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

“Aspek keselamatan negara bukan hanya terletak di bahu Angkatan Tentera, malah turut melibatkan pelbagai jabatan dan agensi termasuklah institusi pendidikan tinggi melalui penyediaan pelapis muda berdisiplin dan berjiwa patriotik, ”tambahnya.

Terdahulu, Pengarah PSIS, Haslinda Abd Hamid berkata di samping meningkatkan kecekapan teknikal, MALPTAAC menjadi wadah penting dalam membentuk disiplin diri, kepatuhan kepada arahan, serta daya kepimpinan yang mantap.

Menurut beliau, melalui latihan dan simulasi yang dirancang, para peserta didorong untuk berani membuat keputusan dan bertindak secara bijak dalam apa jua situasi yang mencabar.

Menurutnya lagi, kesedaran pelajar terhadap tanggungjawab mempertahankan negara semakin tinggi, sejajar dengan matlamat pendidikan TVET dalam membentuk modal insan yang bukan sahaja mahir, tetapi juga berjiwa patriotik.

Katanya, di sinilah kita menyaksikan anak-anak muda dari pelbagai latar belakang teknikal dan akademik mengorak langkah menjadi insan berdaya tahan, berani dan berintegriti yang menjadi tunjang kekuatan negara.

“Program ini merupakan manifestasi bagaimana sistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan hanya melahirkan tenaga kerja mahir, malah membentuk modal insan yang berjiwa patriotik dan bersedia menyumbang kepada pertahanan negara.

“MALPTAAC memberikan pengalaman ketenteraan sebenar yang tidak dapat ditimba di bilik kuliah dan ianya
bukan sekadar acara tahunan, tetapi sebagai tanggungjawab nasional dalam menyemai nilai cintakan tanah air dan semangat patriotisme dalam kalangan peserta,”katanya lagi.

“Semoga penyertaan anggota AW ke MALPTAAC berupaya meningkatkan kemahiran, keupayaan mental dan fizikal serta memberikan keyakinan serta dapat memberikan pengalaman berharga khususnya dalam aspek ketenteraan serta dalam kehidupan, ”tambahnya.

Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) 2025 dianjurkan oleh JPPKK dengan kerjasama Bahagian Pasukan Simpanan, Markas Tentera Darat, dan Politeknik Sultan Idris Shah selaku pengelola bagi edisi kali ini.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat