KUALA LUMPUR, – Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM-58) yang berakhir hari ini di Kuala Lumpur menandakan permulaan fasa penting menuju pembentukan Komuniti ASEAN 2045, dengan Malaysia mengetuai penyelarasan diplomatik yang menghasilkan 69 keputusan bersama.
Sidang ini turut menyaksikan 18 sesi pertemuan bersama rakan luar ASEAN, memperkukuh peranan ASEAN sebagai pelantar strategik Indo-Pasifik dalam dunia yang semakin terpecah kepada pelbagai paksi kuasa.
Dalam suasana geopolitik yang tidak menentu dari peperangan berpanjangan di Ukraine dan krisis di Timur Tengah, hingga persaingan China-Amerika dan kesan perubahan iklim ASEAN dilihat perlu memperbaharui peranannya sebagai kuasa penengah yang berprinsip dan berpaksikan rakyat.
Pendirian tegas, pendekatan seimbang Malaysia

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia tampil dengan pendekatan yang tersusun, berprinsip dan tidak apologetik.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan menegaskan bahawa ASEAN harus menentukan halatuju sendiri, tidak tunduk kepada tekanan kuasa luar, dan kembali memperkukuh fondasi dalaman melalui keterhubungan, integrasi rentas sektor dan perdagangan intra-ASEAN.
Malaysia juga mencadangkan agar penyusunan dasar luar dan pembangunan ekonomi disepadukan khususnya melalui kerjasama erat antara Menteri-Menteri Luar dan Menteri Ekonomi ASEAN.
Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, yang mempengerusikan sidang ini, membuka AMM-58 dengan ketegasan:
“ASEAN mesti kekal sebagai kuasa pemusat untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran bersama di rantau ini. Kita tidak boleh membiarkan ASEAN terpecah atau menjadi medan pertembungan kuasa besar.”
Merelakan kemasukan Timor-Leste
Antara pencapaian utama sidang ialah pengesahan bahawa Timor-Leste akan diterima sebagai anggota penuh ASEAN pada Sidang Kemuncak ke-47 Oktober nanti, menjadikannya negara ke-11 dalam blok serantau ini.
Para Menteri Luar turut bersetuju mempercepat pelaksanaan Peta Jalan Keanggotaan, termasuk pematuhan terhadap semua perjanjian ASEAN dalam bidang perdagangan, keselamatan dan sosiobudaya.
Langkah ini bukan sahaja bersifat strategik, tetapi juga simbolik mencerminkan keterbukaan ASEAN kepada negara kecil yang mempunyai sejarah penjajahan dan cabaran pembangunan tersendiri.
Membina semula blueprint ASEAN pasca-2025
Sidang ini menjadi medan penyelarasan semula hala tuju ASEAN selepas tamatnya pelaksanaan Blueprint 2025. Semua negara bersetuju bahawa dokumen baharu mesti disepadukan di bawah wawasan ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita, yang berteraskan empat tunjang utama: keterangkuman rakyat, inovasi, kelestarian dan daya tahan serantau.
Beberapa inisiatif utama mula diperincikan termasuk:
- Pelan Induk Ekonomi Digital ASEAN,
- Rangka Kerja Pelaburan Mampan,
- Integrasi Industri Semikonduktor ASEAN, dan
- Pelan Strategik Ekonomi Biru untuk pembangunan maritim secara mampan.
Krisis Myanmar: ujian terhadap konsensus ASEAN
Di sebalik pencapaian teknikal, krisis Myanmar kekal menjadi isu mendasar yang menguji martabat ASEAN. Walaupun ASEAN memperbaharui sokongan terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC), tiada tindakan konkrit diumumkan terhadap junta Myanmar yang masih gagal menghormati komitmen tersebut.
Mohamad Hasan dalam kenyataan medianya berkata:
“Kami tidak boleh terus berdiam diri melihat penderitaan rakyat Myanmar. ASEAN mesti kekal berprinsip dan berpegang pada Konsensus Lima Perkara, sambil memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan tanpa halangan.”
ASEAN menyambut baik pelaksanaan misi kemanusiaan pasca-gempa menerusi AHA Centre dan lawatan bersama Menteri Luar Malaysia dan Thailand ke Naypyidaw. Namun, prinsip tidak campur tangan terus menjadi batasan diplomasi ASEAN dalam menangani konflik politik dalaman anggota.
Perubahan iklim dan jerebu
Mesyuarat turut menekankan cabaran perubahan iklim dan jerebu rentas sempadan yang berulang. Para Menteri mempercepat penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Brunei serta Pelan Strategik Alam Sekitar Pasca-2025 yang lebih menyeluruh.
ASEAN juga mengulangi iltizam untuk melaksanakan sepenuhnya Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, termasuk penubuhan Pusat Penyelarasan Kawalan Jerebu (ACC-THPC) di Indonesia.
Namun, kelemahan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan serantau terus menimbulkan persoalan tentang keberkesanan ASEAN dalam menghalang kebakaran hutan secara sistemik, terutama semasa musim kering.
Transformasi digital dan ekonomi data
Di sebalik krisis politik dan ekologi, ASEAN mencatat kemajuan ketara dalam bidang digital. Rundingan akhir bagi Perjanjian Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dijangka selesai menjelang akhir tahun, membuka jalan kepada penyatuan ekonomi berasaskan data, perdagangan digital dan pengenalan transaksi rentas sempadan yang lancar.
Mohamad Hasan menekankan, “Kita perlu mempercepat integrasi digital ASEAN, bukan sekadar untuk kemajuan teknologi tetapi bagi menjamin bahawa ekonomi serantau kita kekal kompetitif, berdaya tahan dan saksama.”
ASEAN juga melancarkan Rangkaian Keselamatan Kecerdasan Buatan (AI) serta memperkukuh Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber ASEAN (ASEAN-CERT) untuk menangani ancaman digital merentas sempadan.
Keselamatan maritim dan kuasa serantau yang bebas
Dalam konteks geopolitik, ASEAN menegaskan agar Laut China Selatan kekal sebagai perairan aman, bebas dan stabil, menolak sebarang tindakan provokatif yang boleh menggugat kestabilan serantau.
Forum-forum seperti ASEAN Maritime Forum (AMF) dan Expanded ASEAN Maritime Forum (EAMF) diperkukuh, manakala India akan menjadi tuan rumah kepada Tahun Kerjasama Maritim ASEAN–India 2026.
AMM-58 turut menyambut penyertaan Algeria dan Uruguay dalam Perjanjian TAC, serta meneroka kerjasama baharu dengan Maghribi, UAE dan Brazil memperluas diplomasi ASEAN ke luar Asia dan ke arah Global South.
Kesejahteraan sosial, hak asasi dan migrasi
AMM-58 turut memberi penekanan terhadap aspek kesejahteraan sosial dan pembangunan inklusif. ASEAN menyambut Deklarasi Mengenai Pendidikan Tinggi dan Tenaga Mahir, mengukuhkan hak pekerja migran serta memperluas program perlindungan sosial.
Isu keselamatan makanan, pengurangan kemiskinan luar bandar dan ketahanan terhadap bencana turut menjadi bahagian penting dalam pendekatan holistik ASEAN menjelang 2045.
Tanda ukur keupayaan ASEAN
Sidang AMM-58 bukan sekadar pencapaian teknikal bagi Malaysia selaku pengerusi, tetapi juga ujian terhadap keupayaan ASEAN sebagai kuasa tengah yang mampu memimpin rantau ini secara kolektif. Kenyataan bersama sepanjang 133 fasal bukan hanya dokumen rasmi ia adalah manifestasi harapan dan cabaran masa depan ASEAN.
Mohamad Hasan menutup sidang dengan penuh simbolik, “ASEAN 2045 bukan sahaja tentang membina masa depan, tetapi tentang menjadikan rantau ini milik rakyatnya – inklusif, hijau, dan sejahtera.”*
Namun, seperti yang diakui beberapa pemimpin, kejayaan ASEAN bukan sekadar bergantung pada resolusi yang diluluskan tetapi sejauh mana pelaksanaan dasar dan kesediaan politik untuk bertindak.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini akan menjadi medan sebenar untuk menilai sama ada keputusan yang dilakar di Kuala Lumpur benar-benar mampu diterjemahkan menjadi tindakan yang bermakna untuk rakyat Asia Tenggara. SUARA.TV



