PN tak sokong RCI, yakin PM tak benarkan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong kepada cadangan dan gesaan Datuk Seri Rafizi Ramli terkait penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan kemelut badan kehakiman.

Rasional penolakan itu kata, Ketua Whip ahli Parlimen PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan adalah selaras dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa PN tidak yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri di samping ia memerlukan keputusan Kabinet yang juga dipengerusikan oleh beliau.

“Justeru ahli-ahli Parlimen PN tidak dapat menyatakan sokongan kepada cadangan dan gesaan Rafizi dalam hal tersebut.

“Walau bagaimanapun PN akan menilai apa-apa perkara berkaitan yang mungkin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang Parlimen yang bermula 21 Julai 2025 ini,” tegas Ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam kenyataan pada Jumaat.

Setiausaha Agung Pas itu memberitahu PN mengesahkan sebahagian ahli-ahli Parlimen PN (MP-PN) telah menerima sepucuk surat bertarikh 9 Julai 2025 daripada Rafizi yang bertajuk “Sokongan Terhadap Tuntutan Menegakkan Integriti Kehakiman Negara”.

“MP-PN pada dasarnya menghargai pendirian Rafizi dalam isu Kehakiman negara yang sebahagian besarnya ada persamaan dengan pendirian PN selama ini. Ini termasuklah soal peranan JAC dan kuasa eksklusif Perdana Menteri dalam soal pelantikan hakim-hakim di mahkamah tertinggi.

“Walau bagaimanapun dalam hal cadangan penubuhan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan kemelut badan kehakiman ini, MP-PN mempunyai pandangan yang berbeza atas alasan ianya bukanlah suatu mekanisma yang mencukupi dan berkesan memandangkan ia masih berada di bawah kawalan dan budi bicara penuh Perdana Menteri yang bertindak memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Pendirian ini juga selaras dengan kenyataan Pengerusi PN bahawa PN tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri di samping ia memerlukan keputusan kabinet yang juga dipengerusikan oleh beliau,” jelas Takiyuddin.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat