Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Program STI 100 ³ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melakar sejarah tersendiri dengan mencipta dua rekod kebangsaan telah diiktiraf The Malaysia Book of Records (MBOR).
MOSTI dalam kenyataan berkata dua rekod berjaya diraih iaitu Largest Scientist Participation in a Simultaneous ‘STEM’ Program: Scientists@Schools: Jom STI! dan Largest School Participation in a Simultaneous ‘STEM’ Program: Scientists@Schools: Jom STI!
Dalam pada itu, majlis simbolik bersempena Peluncuran Program STI 100³ bertemakan ‘Saintis@Sekolah: Jom STI!’ telah disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiara Permai, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Who; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Hj. Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Ahmad; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd Azam Ahmad; dan Ahli Parlimen Batu, Prabakaran a/l M Parameswaran.
Menurut kenyataan itu, lebih 9,000 buah sekolah di seluruh negara telah melaksanakan aktiviti bersama saintis di premis sekolah masing-masing serentak pada Isnin.
Program STI 100³ merupakan langkah strategik MOSTI dalam membina dan memperkukuh bakat Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) negara sejak peringkat awal persekolahan.
Menurutnya lagi, inisiatif ini dirangka bagi menyokong aspirasi Perdana Menteri untuk memastikan pendidikan sains tidak lagi bersifat teori semata-mata, sebaliknya diperkasa melalui pendekatan interaktif dan kolaboratif yang melibatkan komuniti saintis secara langsung bersama para pelajar.
Katanya, melalui aktiviti luar bilik darjah, murid-murid diberi peluang meneroka aplikasi sebenar sains, teknologi dan inovasi (STI) secara lebih bermakna dan menyeronokkan.
“Sejak dilaksanakan pada September 2024, program ini telah mencatat pencapaian membanggakan dengan pelaksanaan dua kitaran awal yang melibatkan 150 orang saintis dan 150 buah sekolah dari seluruh pelusuk negara.
“Menelusuri kesinambungan usaha tersebut, pelaksanaan Kitaran 1 Tahun 2025 kini sedang giat dijalankan dengan padanan seramai 83 orang saintis bersama 83 buah sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM), ”katanya lagi.
Ujarnya , Program STI 100³ merupakan manifestasi komitmen MOSTI dalam menyemai minat terhadap STI sejak di bangku sekolah, seiring pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 dan aspirasi Malaysia MADANI.
“Menerusi pendekatan bersepadu bersama KPM, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri dan NGO, program ini memperkukuh prinsip Whole of Government Approach dan memastikan akses pendidikan STEM yang menyeluruh dan inklusif.
“STI 100³ bukan sekadar platform pembelajaran, tetapi landasan strategik dalam membentuk generasi muda yang celik sains dan berupaya menerajui Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030, ”ujarnya lagi. – SUARA.TV