KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyanggah gerakan `1 Julai Hari Hitam’ yang dicetuskan pembangkang sebagai tanda bantahan terhadap peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menurut Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar, gerakan itu hanyalah cubaan populis yang tidak bertanggungjawab serta mempermainkan emosi dan membakar sentimen rakyat tanpa fakta dan pertimbangan rasional terhadap keperluan semasa negara.
Realitinya, tegas Mahfuz pelaksanaan SST yang dikemas kini itu merupakan langkah penting untuk memastikan hasil negara dapat dikutip secara lebih telus, adil dan disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan subsidi bersasar.
Menjelaskan lebih lanjut beliau memberitahu, SST tidak dikenakan kepada barangan keperluan harian seperti beras, ayam, telur, sayur, ikan, ubat, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
Sebaliknya kata beliau, SST menyasarkan perbelanjaan mewah dan bukan keperluan asas, sekali gus mereka yang banyak terkesan adalah golongan berkemampuan, bukannya rakyat kebanyakan.
“Hasil SST dan penyasaran semula subsidi disalurkan terus kepada rakyat melalui program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan Warga Emas(BWE, jualan rahmah, jualan agro Madani, subsidi bahan api, bantuan awal persekolahan dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mahfuz, Pas dan pembangkang sekali lagi memperlihatkan kegagalan dalam memahami keperluan mentadbir sebuah negara yang kompleks dan menentang SST itu tanpa cadangan yang membina.
Sedangkan, ujarnya, Pas di negeri yang ditadbir parti itu turut mengutip hasil dan cukai, justeru tidak sewajarnya memainkan sentimen mengelirukan rakyat dalam langkah sama yang diambil Kerajaan Pusat.
“Saya percaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan permainan persepsi yang dibina pembangkang.
“Kita perlu berani melakukan pembaharuan demi kelangsungan ekonomi yang adil dan berdaya tahan,” katanya.