KUALA LUMPUR – Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi ke Itali, Perancis dan Brazil akan menggunakan penerbangan sewaan khas daripada Malaysia Airlines.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, keputusan menggunakan perkhidmatan itu selepas mengambil kira faktor penjimatan masa, kos dan penyelarasan delegasi.
“Mengapa kita membuat keputusan untuk menggunakan penerbangan sewaan khas dan bukannya pesawat kerajaan? Ini mengambil kira penjimatan masa di mana jadual padat di ketiga-tiga negara tanpa transit yang panjang.
“Selain itu, kos terkawal di mana kos penerbangan sewaan khas ini lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan dan yang ketiga adalah penyelarasan di mana delegasi kerajaan dan perniagaan akan berlepas dan tiba bersama-sama menjamin kehadiran yang tepat waktu untuk semua mesyuarat dan sesi libat urus,” katanya pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, kerajaan menanggung sepenuhnya kos delegasi rasmi kerajaan manakala delegasi perniagaan menanggung sendiri kos mereka.
“Perdana Menteri akan turut membawa delegasi perniagaan yang merangkumi gergasi korporat serta perusahaan inovatif Malaysia.
“Sebahagian daripada syarikat ini sudah pun beroperasi dan mempunyai kepentingan perniagaan di Itali, Perancis atau Brazil, manakala selebihnya sedang meneroka peluang pelaburan baharu bagi memperluas jaringan global mereka.
“Sinergi sedemikian memastikan rundingan antara Kerajaan (G2G) disokong oleh kerjasama antara perniagaan (B2B), sekali gus memacu pasaran baharu, mengukuhkan operasi sedia ada dan meneguhkan kedudukan Malaysia di rantau strategik ini,” katanya.
Beliau berkata, antara delegasi perniagaan yang mengikuti lawatan itu adalah Petronas, Khazanah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank, FGV Holdings Berhad (FGV) dan Weststar.
“Jadi di sini ingin saya tegaskan sekali lagi, tidak berlaku sebarang konflik kepentingan antara kerajaan dan delegasi perniagaan,” katanya.