KUALA LUMPUR – PKR menafikan dakwaan sayap parti tu di Selayang terbubar, kata Setiausaha Agungnya Fuziah Salleh mengulas tindakan ahli jawatankuasanya meletak jawatan.
Fuziah berkata sesebuah jawatankuasa hanya akan terbubar jika sekurang-kurangnya dua pertiga atau 18 daripada 26 ahli jawatankuasa meletak jawatan.
“Jumlah keseluruhan ahli dipilih ialah 18 orang dan lapan lagi boleh dilantik menjadikan maksimum 26 orang. Untuk mencapai ambang dua pertiga, sekurang-kurangnya 18 orang perlu letak jawatan.
“Pada mulanya, 17 orang letak jawatan, kemudian tiga tarik balik, diikuti seorang lagi. Jumlah terkini letak jawatan ialah 13,” lapor FMT, pada Isnin.
Terdahulu, seorang bekas pemimpin Pemuda PKR Selayang mendakwa sayap itu telah lumpuh susulan peletakan jawatan ahli jawankuasa sayap itu secara beramai-ramai.
Bekas Timbalan Ketua Pemuda Amir Sahmat mendakwa 17 ahli telah menyerahkan surat peletakan jawatan bertarikh 7 Mei dialamatkan kepada Fuziah dan Setiausaha Pemuda PKR Omar Mokhtar A Manap.
Walaupun beberapa pemimpin menarik balik peletakan jawatan selepas rayuan dalaman, katanya, 14 daripada mereka kekal dengan keputusan tersebut.
Amir turut memaklumkan kumpulan itu telah menghantar tiga surat kepada Fuziah – pada 7 Mei, 4 Jun dan 18 Jun – namun masih belum menerima jawapan rasmi.
Namun begitu, Fuziah menegaskan jumlah mereka meletak jawatan tidak mencukupi untuk menyokong dakwaan pembubaran, dan proses seperti yang digariskan dalam perlembagaan parti mesti dipatuhi.