BEIJING – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyatakan kebimbangan berikutan kes kecurian kabel yang boleh menjejaskan perancangan dan jadual operasi tren projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang kini berada pada fasa penting menjelang penyempurnaan pada Disember 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata beberapa kejadian kecurian kabel dikesan di lokasi tertentu sepanjang jajaran ECRL, merentas Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
“Perkara ini bukan saja meningkatkan kos baik pulih dan penggantian, malah juga berisiko menunda jadual ujian dan pentauliahan tren yang dijangka bermula pada Jun 2026,” katanya semasa temu bual bersama delegasi media Malaysia lapor Bernama di Beijing.
Media Malaysia berada di sini untuk kunjungan ke ibu pejabat kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) serta ibu pejabat pembuat tren ECRL, CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co., Ltd (CRRC Dalian) yang juga anak syarikat milik penuh CRRC Corporation.
Projek infrastruktur mega itu milik MRL, anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan), manakala China Communications Construction Company (CCCC) pula sebagai kontraktor utama.
Beliau berkata, sekiranya CCCC lewat menyerahkan projek berkenaan yang dijadualkan memulakan operasi pada 2027, syarikat konglomerat itu dijangka mengalami kerugian RM1.25 juta sehari.
Darwis berkata, selaku pemilik projek, MRL membuat laporan polis mengenai insiden kecurian dan sedang mengambil langkah tambahan termasuk melantik syarikat keselamatan khusus bagi memantau dan melindungi aset ECRL di lapangan.
“Bagaimanapun, kami juga amat mengharapkan kerjasama berterusan daripada pihak berkuasa dan komuniti setempat untuk bersama-sama membendung jenayah ini. Ini adalah projek nasional yang perlu kita jaga bersama,” katanya.
Beliau juga merancang bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan ketua polis setiap negeri terbabit bagi mendapatkan kerjasama dan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu.
Dalam pada itu, setakat Mei 2025, kadar kemajuan keseluruhan projek ECRL mencecah 83.38 peratus dan berada pada landasan terbaik untuk disiapkan menjelang Disember 2026.
Beliau berkata, 2025 adalah tempoh paling kritikal, dengan kerja-kerja pemasangan sistem komunikasi, informasi dan semboyan kini bermula di Stesen Kota SAS (Sultan Ahmad Shah) dan akan diteruskan secara serentak di beberapa stesen lain.
“Bagaimanapun, sejak sistem itu mula dipasang bermula di Stesen Kota SAS pada Mac 2025, projek ECRL sering menjadi sasaran pencuri kabel,” katanya.
Darwis berkata, selain Kota SAS, kes kecurian kabel serta beberapa unit transformer turut dilaporkan di kawasan Paya Besar/Gambang, Cherating dan Bandar Pelabuhan Kuantan di Pahang; Chukai, Dungun dan Kemasik di Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua set pertama tren Elektrik Pelbagai Gerabak (EMU) bersama dua lokomotif elektrik bagi pengangkutan kargo buatan CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co Ltd dijangka tiba di Malaysia akhir tahun ini.
Kumpulan seterusnya akan tiba secara berperingkat bermula April 2026.
“Ujian dan pentauliahan untuk sistem dan tren dijadualkan bermula pada Jun 2026. Ini fasa penting yang menentukan kesediaan kita untuk memulakan operasi,” katanya.
Beliau juga berkata, kerja-kerja penembusan bagi 38 terowong berjaya dilaksanakan daripada keseluruhan jajaran projek, dan dua lagi penembusan iaitu bagi Terowong Serendah 2 dan Terowong Berkembar Genting masing-masing dijangka dilaksanakan menjelang akhir bulan ini dan awal bulan hadapan.
“Semua kerja pengambilan tanah bagi laluan utama ECRL dari Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang, Selangor kini selesai sepenuhnya, dengan kerjasama kerajaan negeri yang terbabit.
“Hanya beberapa lot tambahan diperlukan khusus bagi penyesuaian sistem elektrifikasi seperti untuk Tenaga Nasional Bhd, namun jajaran utama telah kita peroleh 100 peratus,” katanya.
Selain itu, Darwis berkata perkhidmatan kargo ECRL menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pemain industri logistik.
Setakat ini menerima komitmen awal antara 800,000 tan hingga 1 juta tan bagi tahun pertama operasi yang dijadualkan bermula pada awal 2027,
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer adalah projek infrastruktur terbesar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia dijangka meningkatkan jaringan pengangkutan dan merangsang pembangunan ekonomi di pantai timur Semenanjung Malaysia.