SG4 bukan pesaing, tetapi pemangkin kemajuan negara – Annuar Musa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR,– Gabungan empat negeri Pantai Timur dan Utara Semenanjung menerusi State Government 4 (SG4) disifatkan sebagai pelengkap kepada pembangunan nasional, bukan pesaing kepada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Penasihat Komunikasi SG4, Tan Sri Annuar Musa, kerjasama strategik antara Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ini digerakkan atas semangat permuafakatan dan autonomi pentadbiran untuk memperkasa kekuatan dalaman setiap negeri tanpa menjejaskan keharmonian persekutuan.

“SG4 bukan ditubuhkan untuk berlawan dengan kerajaan pusat. Kalau diurus dengan baik, negara juga yang untung. Ini adalah satu usaha menjadikan negara lebih cekap dan efisien,” katanya semasa ditemui selepas sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Menjelaskan potensi sebenar SG4, Annuar memetik sumbangan besar empat negeri itu dalam sektor agromakanan negara, termasuk pengeluaran beras, ikan, ayam dan daging yang mewakili hampir 70 peratus keperluan negara.

“Kalau SG4 dapat tingkatkan pengeluaran sehingga ada lebihan, negara boleh eksport. Sekarang kita import daging dari Thailand. Bayangkan kalau kita boleh eksport ke sana pula negara yang untung,” ujar beliau.

Beliau menyarankan SG4 dilihat sebagai satu entiti ekonomi kolektif yang mampu mengubah landskap pembangunan wilayah secara lestari, sambil menyumbang kepada pertumbuhan negara secara keseluruhan.

SG4: Jalan pembangunan sendiri ketika pusat berdepan kekangan

Bagi Annuar, SG4 ibarat aliran air yang mencari jalan sendiri ketika dihalang satu bentuk resiliensi pembangunan yang muncul daripada cabaran pentadbiran pusat.

“Ia satu anugerah kepada negara. Gabungan ini adalah model pentadbiran yang berdikari, tersusun dan berasaskan potensi tempatan,” katanya.

Pemerhati politik dan ekonomi juga melihat SG4 sebagai model baru pentadbiran serantau tumpuan terarah, berpaksikan kekuatan sebenar negeri dan bebas daripada pergantungan berlebihan terhadap pusat.

Media perlu mainkan peranan membina, bukan sensasi

Dalam pada itu, Annuar turut berharap media memainkan peranan lebih membina dalam menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar dan agenda SG4, sambil mengurangkan laporan berasaskan sentimen semata-mata.

“Kita tak salahkan media, tapi kadang negeri-negeri juga lambat kemukakan maklumat. Akhirnya kita banyak baca berita sensasi, bukan perancangan pembangunan,” katanya.

Beliau turut berjanji akan membantu menyampaikan maklumat berkala kepada media supaya perkembangan SG4 dapat difahami secara objektif oleh masyarakat.

Sambutan HAWANA 2025 anjuran Kerajaan Kelantan dengan kerjasama negeri-negeri SG4 turut menjadi platform pengukuhan hubungan antara kerajaan negeri dan pengamal media.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, media harus menjadi pemangkin kemajuan dan penyebar kebenaran dalam konteks pembangunan negeri.

“Media dan kerajaan negeri saling memerlukan. HAWANA ini bukan sekadar sambutan, tapi ruang membina komunikasi dan persefahaman,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan sesi interaktif Cit Cat Mahabbah yang membincangkan kerjasama strategik antara pengamal media dan pentadbiran negeri. Antara isu yang dibincang termasuklah kebebasan media, penyaluran maklumat tepat dan peranan media dalam pembangunan serantau.

Turut hadir Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Sebagai simbol penghargaan, penganjur turut menyampaikan sumbangan kepada 10 pengamal media dari empat negeri SG4 yang menghadapi masalah kesihatan.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat