KUALA LUMPUR – Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dijangka menyumbang kutipan tambahan kira-kira RM10 bilion setahun, sekali gus menjadi antara strategi utama dalam agenda reformasi fiskal kerajaan MADANI bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memastikan kemampanan perbelanjaan sosial serta pembangunan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican berkata, kerajaan perlu memperluas asas cukai secara berhemah bagi menangani peningkatan perbelanjaan tahunan kerajaan meliputi bantuan tunai, pendidikan, penjagaan kesihatan serta penyelenggaraan infrastruktur.
“Cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita hanyalah sekitar 12.5 peratus, antara yang terendah di rantau ini. Maka, asas cukai negara perlu ditambah baik tanpa membebankan rakyat secara tidak wajar,” katanya pada sesi Fireside Chat 3 bertajuk Social Safety Nets: Securing the Future sempena Simposium Sasana 2025 anjuran Bank Negara Malaysia (BNM), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peluasan SST dilaksanakan secara bersasar dan progresif, di mana perkhidmatan yang dinikmati golongan berpendapatan tinggi dan korporat dikenakan cukai, manakala barangan keperluan asas terus dikecualikan atau dikenakan kadar lebih rendah.
Antara perkhidmatan yang dikenakan SST termasuk yuran pengurusan dana, bank pelaburan dan beberapa perkhidmatan komersial, sementara perkhidmatan asas seperti pinjaman perumahan, pembinaan kediaman dan akaun semasa dikecualikan.
“Unjuran dalaman menunjukkan kesan inflasi daripada peluasan ini sederhana, sekitar 0.2 hingga 0.25 peratus sahaja. Ini penting supaya tidak memberi tekanan kepada harga barangan pengguna,” katanya.
Johan menegaskan bahawa reformasi fiskal turut merangkumi rasionalisasi subsidi serta usaha menangani ketirisan perbelanjaan, termasuk peralihan daripada rundingan terus kepada sistem tender terbuka dalam projek awam.
Katanya, defisit fiskal negara berjaya dikurangkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 5.3 peratus tahun ini, dan disasarkan turun kepada 3.8 peratus pada 2025, dengan matlamat jangka panjang membawa defisit ke bawah tiga peratus serta mengekalkan nisbah hutang kepada KDNK pada paras 60 peratus dan jaminan kerajaan tidak melebihi lapan peratus.
Mengulas isu subsidi bahan api, Johan menjelaskan bahawa pendekatan menyeluruh menaikkan harga pasaran dan menggantikannya dengan bantuan tunai mungkin bersifat regresif kerana tidak mengambil kira jarak perjalanan dan keperluan sebenar rakyat.
“Ramai yang tinggal jauh dari bandar dan bergantung kepada penggunaan bahan api. Maka, pendekatan bersasar lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memilih untuk mengekalkan subsidi kepada 80 peratus isi rumah, manakala pengguna tenaga elektrik tinggi dan syarikat besar mula dikenakan kadar hampir kepada pasaran. Pendekatan serupa digunakan untuk diesel, di mana syarikat logistik masih menikmati harga bersubsidi bagi mengawal kos barangan.
“Tanpa langkah seperti peluasan SST dan rasionalisasi subsidi, amat sukar untuk kita mencapai sasaran defisit fiskal dan menyediakan ruang fiskal mencukupi sekiranya berlaku kejutan ekonomi pada masa depan,” lapor Harian Metro pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan kepada RM13 bilion tahun ini, dan hampir 60 peratus isi rumah kini menerimanya. Program itu turut merangkumi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membolehkan penerima membeli barangan keperluan menggunakan kredit RM100 sebulan.
“STR dan SARA membuktikan kerajaan tidak meminggirkan rakyat. Pendekatan bersasar ini lebih efektif daripada bantuan universal,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelbagai agensi digunakan untuk menyalurkan bantuan secara lebih tepat dan efisien.
Menyentuh isu cukai ke atas barangan import tertentu seperti buah-buahan, Johan berkata kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai corak perbelanjaan rakyat dan impak jangka panjang sebelum membuat sebarang keputusan.
“Prinsip utama kita ialah meningkatkan hasil negara secara progresif, sambil terus melindungi rakyat biasa,” katanya.
Mengulas cadangan pelaksanaan cukai kekayaan sebagai alternatif kepada SST, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan cukai kekayaan lebih mencabar kerana ia memerlukan penilaian aset yang kompleks berbanding cukai pendapatan atau penggunaan.
“Cukai kekayaan memang kelihatan menarik dalam teori, tetapi ia sukar dilaksanakan kerana aset tidak semudah dinilai berbanding pendapatan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh cabaran penuaan penduduk yang menuntut kerajaan meneliti mekanisme dasar baharu termasuk peningkatan umur persaraan, penstrukturan semula sistem kesihatan dan pembangunan persekitaran mesra warga emas.
“Isu ini bukan sekadar berkaitan pencen, tetapi melibatkan kesihatan dan keperluan sosial warga emas. Kita juga perlu pastikan peluang pekerjaan untuk belia tidak terjejas,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan Madani komited untuk mencapai keseimbangan antara tanggungjawab fiskal dan keperluan sosial rakyat dalam jangka masa panjang.