KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat permohonan bagi melucutkan hak bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di Kuala Lumpur, minggu depan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, hal ini selepas pihaknya memohon pembekuan aset berkenaan kepada Ketua Pengarah Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, semalam.
Katanya, pelucutan hak itu akan dilakukan mengikut Seksyen 55 atau 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Kita sudah membuat permohonan kepada Ketua Pengarah Pejabat Tanah di bawah Seksyen 51.
“Langkah selanjutnya dalam tempoh terdekat ini, kita akan memohon di bawah Seksyen 56 atau 55 di bawah akta sama untuk melucutkan hak aset berkenaan (Menara Ilham),” katanya lapor BH pada Jumaat.
Seksyen 55 memperuntukkan pelucutan harta selepas sabitan dan terdapat sabitan kesalahan (contohnya di bawah Seksyen 4(1) akta itu), manakala Seksyen 56 pula ialah pelucutan sivil tanpa sabitan dan boleh dilakukan sekiranya tiada sabitan atau pendakwaan terhadap mana-mana pihak.
Mengulas mengenai penyitaan Menara Ilham kali kedua, Azam berkata ia membabitkan dua akta berbeza.
“Sebelum ini (sitaan Disember 2023 adalah menggunakan Akta SPRM 2009 manakala kali ini membanitkan akta penggubahan wang haram,” katanya.
Semalam dilaporkan, Menara Ilham yang terletak di Jalan Binjai disita SPRM, sekali lagi.
SPRM dilaporkan berkata pihaknya mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan yang dikaitkan dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu.
Sitaan berkenaan adalah berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) AMLATFPUAA 2001 bertarikh 4 Jun 2025.
“Menerusi notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) dengan Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan mengikut subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001.
“Sehubungan itu, adalah diperintahkan bangunan Menara Ilham disita oleh Pegawai Penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi Notis ini adalah kesalahan mengikut AMLATFPUAA 2001,” kata SPRM dalam satu kenyataan.
BH pada 21 Disember 2023 pernah melaporkan, SPRM menyita bangunan Menara Ilham setinggi 60 tingkat itu.
Notis penyitaan ketika itu bertarikh 18 Disember lalu disiarkan hari ini melalui ruangan pemberitahuan sebuah portal berita, dengan ditandatangani Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib.
Ia ditujukan kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Beberapa hari lalu media melaporkan, tiga kediaman mewah di London ialah antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, berjaya dibekukan hari ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai berjumlah £132 juta (RM758.2 juta).