Akaun bank Bersatu dengan dana simpanan RM195 juta kekal dibekukan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini memutuskan akaun bank milik Bersatu yang mempunyai RM195 juta akan terus dibekukan sementara menunggu keputusan dua permohonan semakan kehakiman dan prosiding jenayah berkaitan.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong, membuat keputusan itu selepas CIMB Bank memohon pengisytiharan mahkamah sama ada ia perlu mengekalkan pembekuan akaun berkenaan atau mengeluarkan dana itu susulan arahan bercanggah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Setiausaha Eksekutif Bersatu, Datuk Muhammad Suhaimi Yahya.

Bank itu memfailkan permohonan ‘interpleader’ selepas menerima surat tuntutan daripada Muhammad Suhaimi memohon pelepasan dana terbabit yang dimasukkan ke dalam akaun parti oleh Bukhary Equity Sdn Bhd.

CIMB selaku plaintif tunggal, menamakan SPRM, pendakwa raya dan Muhammad Suhaimi sebagai defendan.

Techiong berkata, pertikaian itu tidak dapat diselesaikan dengan mudah kerana isu dibangkitkan sudah menjadi subjek prosiding semakan kehakiman yang belum selesai dan perbicaraan jenayah membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

“Pertikaian antara defendan tidak sesuai untuk ditentukan secara ringkas oleh mahkamah ini dalam mendengar ‘interpleader’ bank.

“Itu adalah persoalan undang-undang serta fakta yang dipertikaikan membentuk perkara permohonan semakan kehakiman di Bahagian Kuasa Khas mahkamah ini dan pendakwaan jenayah yang disebut di atas di Mahkamah Sesyen – semuanya masih menunggu perbicaraan dan perbicaraan masing-masing.

“Jika mahkamah ini menyelidik lebih mendalam, kesannya akan merampas domain mahkamah lain yang sepatutnya membuat penentuan muktamad mengenai pelbagai isu yang lebih luas,” katanya dalam penghakiman bertarikh 9 April lalu.

Techiong berkata, Muhyiddin telah didakwa pada Mac 2023 atas kapasitinya sebagai Presiden Bersatu berhubung dana didakwa diterima parti itu, yang memenuhi keperluan bawah Seksyen 52A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) untuk mengekalkan perintah rampasan akaun terbabit.

Beliau berkata, Bersatu tidak dilindungi undang-undang berasingan, kerana undang-undang membenarkan pertuduhan dikenakan terhadap pemegang jawatannya.

Dalam kes berkenaan, mahkamah berkata, presiden (Muhyiddin) didakwa berhubung dana terbabit.

Mahkamah juga menolak afidavit setebal 376 muka surat yang difailkan oleh peguam Suhaimi, dengan menyatakan ia tidak boleh diterima kerana difailkan tanpa kebenaran mahkamah dan pada peringkat prosiding yang sangat lewat.

“Afidavit yang begitu panjang telah difailkan pada saat akhir, menguatkan pandangan saya bahawa perkara itu tidak sesuai untuk ditentukan secara ringkas dalam ‘interpleader’ ini,” lapor BH pada Jumaat.

Techiong kemudian memerintahkan CIMB untuk terus membekukan dana itu hingga Bahagian Kuasa Khas Mahkamah Tinggi melupuskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Muhyiddin dan Suhaimi, yang masih belum selesai.

Semakan kehakiman pertama mencabar kesahihan perintah pembekuan dikeluarkan oleh SPRM pada Januari 2023, manakala yang kedua pula bertujuan membatalkan perintah rampasan yang dikeluarkan oleh pendakwa raya pada April tahun sama.

Muhyiddin menghadapi empat pertuduhan mengikut Akta SPRM dan dua bawah AMLA, membabitkan sejumlah RM200 juta termasuk RM195 juta yang didakwa dipindahkan ke dalam akaun Bersatu yang dipegang dengan CIMB Islamic Bank.

Peguam, Sathya Kumardas dan Daud Sulaiman, mewakili CIMB, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan, serta Peguam Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md Ali mewakili SPRM dan pendakwa raya.

Bersatu pula diwakili peguam, Chethan Jethwani dan Tang Jia Yearn.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat