Oleh Zihan Zari
ALOR SETAR – Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah telah mengagihkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM 1,000 kepada 175 Ketua Isi Rumah (KIR) daerah Kota Setar yang terjejas ketika bencana banjir pada Oktober tahun lalu.
Pengarahnya, Dato’ Hj. Zepri Saad berkata kesemua penerima merupakan senarai yang diluluskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan telah berpindah (berdaftar) di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penerima di samping sebagai tanda keprihatinan kerajaan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan tidak lama lagi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan BWI Daerah Kota Setar di Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Kota Setar, Jalan Aman dekat sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Mohd Ridzuan Ab Ghapar.
Menurut Zepri, bagi fasa 1 yang terjejas akibat bencana banjir telahpun selesai diagihkan kepada penerima dengan jumlah penyaluran sebanyak RM3.5 juta, manakala fasa 2 dan 3 pula sebanyak RM327,000 melibatkan 327 KIR bagi empat daerah.
Katanya, seramai 95 KIR bagi daerah Pokok Sena yang terkesan dengan bencana banjir pada September 2024 telah menerima BWI dengan jumlah penyaluran sebanyak RM 95,000 di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, pada Selasa.
“Insya-Allah, bagi fasa 4 pemberian BWI dijadualkan akan dilaksanakan dalam waktu terdekat setelah senarai penerima yang layak diluluskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), ”katanya lagi.
Ujarnya, sumbangan BWI ini adalah komitmen berterusan kerajaan Madani dalam menyantuni keperluan rakyat terutamanya kepada mereka yang terkesan akibat bencana dan musibah seperti banjir.
“Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah sentiasa komited menyelaras dan bekerjasama dengan semua pihak organisasi di negeri ini bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan, ”ujarnya lagi.
Serahan BWI ini turut diselaraskan oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kota Setar dan JPBD Kota Setar. – SUARA.TV