KUALA LUMPUR – Polis menerima 27 laporan kerosakan rumah penduduk didakwa akibat latihan simulasi letupan bom sempena acara perasmian Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata, semua siasatan akan dirujuk kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, polis turut dimaklumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) sudah memeriksa rumah berkenaan.
“Pada edisi Lima sebelum ini, tiada kejadian seperti ini berlaku. Namun, polis sudah menyiasat semua aduan penduduk.
“Polis juga sudah berhubung dengan penganjur dan dimaklumkan mereka memberi komitmen penuh untuk menyelesaikan (aduan),” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan cermin tingkap rumah pecah didakwa berpunca daripada gelombang kejutan (apabila objek bergerak pada kelajuan supersonik) jet pejuang yang membuat latihan bagi Lima’25.
Fisol mengingatkan sebarang laporan kerosakan rumah dikemukakan perlu berlandaskan kejadian sebenar.
“Untuk pengetahuan penduduk, tiada lagi persembahan gimik, sama akan di persekitaran Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) bermula hari ini sehingga pameran berakhir Sabtu ini,” katanya.