KUALA LUMPUR- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyalurkan sebanyak RM213.21 bilion kepada pengurus dana luar sehingga 31 Disember 2024, jumlah berkenaan mewakili 17 peratus daripada keseluruhan aset pelaburannya.
Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, barisan pengurus dana luar itu mencatatkan jumlah pendapatan tertinggi mencecah 24 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP.
Beliau berkata, pencapaian itu adalah bukti kepada kecekapan, matlamat dan kerjasama dalam ekosistem pelaburan yang telah dibina antara KWSP dan pengurus dana luarnya.
“Walaupun berdepan dengan cabaran luar dan ketidaktentuan pasaran sepanjang tahun lalu, KWSP dan pengurus dana luar telah menunjukkan kecekapan dan daya tahan dalam mengurus portfolio pelaburan yang pelbagai bagi memberikan nilai jangka panjang untuk ahli,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Makan Malam Tahunan Anugerah Pengurus Dana Luar KWSP.
Bagi tahun kewangan berakhir 2024, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan sebanyak RM73.24 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM63.05 bilion diagihkan untuk Simpanan Konvensional, manakala RM10.19 bilion untuk Simpanan Shariah.
KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM74.46 bilion pada 2024, manakala jumlah aset pelaburannya telah meningkat kepada RM1.25 trilion, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai salah satu dana persaraan terbesar di dunia.
Mohd Zuki berkata, KWSP komited terhadap inovasi dengan memanfaatkan kecerdasan nuatan (AI) dan automasi untuk meningkatkan tahap kecekapan operasi serta membangunkan infrastruktur pelaburan yang lebih tangkas dan tersedia masa hadapan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, penyepaduan pertimbangan tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) dalam portfolio kekal menjadi keutamaan strategik bagi memperkukuh daya tahan jangka panjang.
“Kami bekerjasama secara aktif dengan pengurus dana luar bagi memastikan mereka selari dengan tujuan kami untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” katanya memetik laporan BH pada Khamis.
Antara pengurus dana luar yang diiktiraf pada Makan Malam Tahunan itu adalah BNP Paribas Asset Management Najmah Malaysia Sdn Bhd, Franklin Templeton Asset Management (Malaysia) Sdn Bhd, Nomura Islamic Asset Management Sdn Bhd, Principal Asset Management Bhd, Robeco Institutional Asset Management, Amundi Malaysia Sdn Bhd, BNP Paribas Asset Management Malaysia Sdn Bhd dan Nomura Asset Management.