KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan teknologi dan inovasi akan sampai ke peringkat akar umbi bukan hanya sekadar di atas kertas.
“Petang ini, Bang Mat turun ke Sekinchan, Selangor untuk meninjau sendiri benih padi keluaran MARDI, iaitu MR269 dan MR333.
“Kedua-dua varieti ini telah terbukti mampu memberikan hasil yang lebih tinggi serta tahan terhadap penyakit.
“Ini sekali gus dapat membantu meningkatkan pengeluaran beras putih tempatan dan seterusnya menambah pendapatan pesawah kita,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mohamad yakin bahawa dengan penggunaan benih berkualiti tinggi, sokongan teknologi pertanian yang mampan, serta penglibatan aktif agensi penyelidikan seperti MARDI bersama para petani di lapangan, kita mampu melonjakkan tahap Self-Sufficiency Level (SSL) padi negara.
“Bang Mat akan terus berjuang untuk memastikan sektor agro makanan negara terus maju dan berdaya saing,” katanya.