Oleh Zihan Zari
PENAMPANG – Isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak masih lagi membimbangkan, di Sabah sahaja sebanyak 1,181 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak telah direkodkan pada 2024.
Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan kisah luka, trauma, dan ketidakadilan yang dialami oleh anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan disayangi.
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbanak, dekat sini pada Ahad.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM, Farah Adura Hamidi.
Che Murad berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM telah melaksanakan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak yang menjadi platform bagi kanak-kanak dan komuniti untuk memanfaatkan Talian Kasih 15999 atau melalui aplikasi Whatsapp 019-2615999 bagi melaporkan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang memerlukan bantuan segera.
“Program Advokasi ini merupakan salah satu pengisian bagi Kembara Kasih KPWKM 2025 bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti mengenai isu pemeliharaan dan pelindungan kanak-kanak,”katanya.
“Ia memberikan pendedahan tentang tindakan yang boleh diambil sekiranya berlaku penderaan, pengabaian atau eksploitasi, serta membantu mengenal pasti agensi kerajaan yang bertanggungjawab melindungi kanak-kanak.
“Pada 2024, program ini telah dilaksanakan di semua negeri di Malaysia termasuk 10 buah sekolah di Sabah.
“Susulan kejayaan program ini, kini disasarkan untuk dilaksanakan di 300 buah sekolah lagi sebagai kesinambungan usaha memperkasa kanak-kanak melalui advokasi perlindungan kanak-kanak ini, ”katanya lagi.
“JKM sentiasa mengharapkan penglibatan semua pihak sebagai mata dan telinga masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada KPWKM, ”ujarnya.
Dalam pada itu, pelekat Talian KASIH 15999 telah disampaikan kepada Pengetua SMK Limbanak, Jackson Siga@Sigo serta penyerahan Mock Cek Cura bernilai RM170, 760.00 kepada Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-kanak Daerah Penampang, Mardiana Hj. Ibno.-SUARA.TV