CYBERJAYA — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan terus meningkatkan pemantauan terhadap situasi semasa Covid-19, khususnya susulan peningkatan kes yang dilaporkan di beberapa negara serantau seperti Thailand dan Singapura.
Memetik laporan BERNAMA, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata walaupun Malaysia masih mencatatkan purata sekitar 600 kes seminggu tanpa sebarang kematian pada tahun ini, pihaknya tetap memandang serius perkembangan semasa di peringkat antarabangsa.
“Thailand melaporkan lebih 16,000 kes baharu dalam tempoh seminggu, manakala Singapura mencatatkan kenaikan mendadak dengan lebih 14,000 kes dalam minggu terakhir,” jelas Dzulkefly menerusi hantaran di platform X.
Beliau berkata, data dan amaran semasa telah dikongsi dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan untuk membolehkan penilaian risiko dilakukan secara berterusan serta memastikan kesiapsiagaan berada di tahap optimum.
Sementara itu, KKM menerusi kenyataan daripada Bahagian Kawalan Penyakit menjelaskan bahawa negara telah merekodkan sebanyak 11,727 kes Covid-19 dari Minggu Epidemiologi (ME) 1 hingga ME19 tahun ini.
Menurut kenyataan yang memetik BERNAMA itu, jumlah kes tertinggi dikesan pada awal tahun dengan 960 hingga 1,229 kes seminggu, namun menunjukkan trend penurunan kepada hanya 210 kes menjelang ME15/2025.
“Dalam tempoh empat minggu kebelakangan ini (ME16–ME19), purata mingguan kekal sekitar 600 kes dan masih berada di bawah paras amaran,” jelas kenyataan itu.
Covid-19 masih kekal diklasifikasikan sebagai penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan pelaporan dijalankan melalui sistem e-Notifikasi secara masa nyata.
Dalam usaha memperkukuhkan pemantauan, KKM turut memanfaatkan sistem survelan khabar angin yang membolehkan pengesanan awal dibuat berdasarkan maklumat tidak rasmi daripada media, masyarakat atau saluran sah lain.
KKM turut mengingatkan orang ramai agar kekal berwaspada, terutama golongan berisiko tinggi, dan disarankan mendapatkan vaksinasi sebagai langkah pencegahan tambahan.
Sebarang maklumat berkaitan Covid-19 boleh dirujuk di portal rasmi KKM di www.moh.gov.my.