Penubuhan koridor gajah, pasang lampu jalan antara usaha tangani konflik manusia dan gajah – Nik Nazmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Penyelesaian jangka panjang bagi konflik manusia dan gajah memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ujarnya, hutan menjadi habitat utama gajah adalah di bawah bidang kuasa negeri, seperti termaktub dalam Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru beliau mencadangkan antara tindakan yang boleh dilaksanakan bagi mengukuhkan usaha menangani konflik manusia dan gajah ialah penyambungan habitat hidupan liar terutamanya gajah melalui pelaksanaan koridor ekologi.

“Penubuhan koridor gajah di kawasan berhampiran habitat, termasuk kawasan perladangan, tanah persendirian dan tanah berhutan.

“Kerjasama antara syarikat-syarikat perladangan kelapa sawit untuk mewujudkan rangkaian mini koridor di dalam ladang; penanaman sumber makanan semula jadi gajah di kawasan koridor bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman komersial.

“Pembentukan santuari gajah yang sekurang-kurangnya berkeluasan 10,000 hektar.

“Pemasangan lampu jalan di lokasi lintasan utama gajah,” saran beliau.

Dalam pada itu, Nik Nazmi juga berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan insentif Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) sejak tahun 2019 iaitu insentif kewangan tambahan kepada kerajaan-kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan.

“Sehingga kini, sebanyak RM800 juta telah disediakan termasuk sebanyak RM250 juta pada tahun ini dan kerajaan negeri boleh memanfaatkan peruntukan EFT bagi menangani konflik manusia dan hidupan liar termasuk gajah dengan meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan habitat
gajah.

“Pelaksanaan EFT telah menunjukkan keberhasilan di mana sejumlah 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan. Daripada
jumlah tersebut, terdapat peningkatan dari segi keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebanyak lebih 14,000 hektar.

“Sungguhpun begitu, menangani isu ini memerlukan lebih daripada sekadar intervensi kewangan dan teknikal,” katanya.

Kerajaan akan terus memimpin usaha melalui dasar dan pelaksanaan yang menyeluruh.

Namun kejayaan hanya boleh dicapai dengan komitmen bersama pemilik ladang, pelaksana projek, masyarakat setempat, dan pengguna jalan raya, tegas Nik Nazmi.

“Kesedaran awam perlu diperkukuh dengan lebih meluas, kerana perlindungan gajah bukan hanya soal konservasi, tetapi juga soal menjaga keseimbangan ekologi,” katanya.

Menurut Nik Nazmi kementeriannya amat berdukacita dan memandang serius insiden kematian seekor anak gajah yang dilanggar kenderaan (roadkill) yang telah berlaku pada 11 Mei 2025, kira-kira jam 2.41 pagi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sempadan Gerik, Perak Jeli, Kelantan.

“Pejabat PERHILITAN Daerah Gerik telah menerima aduan daripada Bilik Gerakan IPD Gerik berhubung kejadian yang melibatkan sebuah lori 10 tan membawa muatan ayam dengan seekor anak gajah bersama ibunya.

“Kematian seekor anak gajah ini telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar satu kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam khususnya dalam usaha kita mengekalkan kelangsungan hidup spesies liar dalam landskap yang semakin terpisah-pisah dan kehilangan kesinambungan semula jadi.

“JRTB merupakan laluan penting yang merentasi habitat gajah liar di antara hutan-hutan utama di Perak dan Kelantan. Lokasi ini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi bagi pertembungan antara manusia dan hidupan liar, khususnya gajah,” ujarnya.

Tambah beliau, kajian pada tahun 2016 mendapati kawasan keliaran gajah telah berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk
pertanian, perladangan, serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan.

“Berdasarkan kepada rekod Jabatan PERHILITAN, 4,919 aduan konflik manusia dan gajah telah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024.

“Konflik ini termasuk kerugian harta benda yang direkodkan dan jumlah kerugian dianggarkan RM39.4 juta. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sebanyak 8 ekor gajah direkodkan mati akibat roadkill di Semenanjung Malaysia termasuk 3 daripadanya berlaku dalam tahun ini sahaja,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat