Baca Buku Sejarah, Bukan WhatsApp! – Akmal Saleh Bidas Ronnie Liu

- Advertisement -

CYBERJAYA — Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Saleh membidas kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Ronnie Liu, yang didakwanya tidak memahami sejarah sebenar negara ini. Dalam satu hantaran di Facebook, Akmal menuduh Ronnie bersikap dangkal dan malas membaca sejarah apabila mempertikai kewujudan konsep “Tanah Melayu” dan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

“Ronnie Liu, lain kali baca buku sejarah dan faham betul-betul, bukan hanya buka WhatsApp dan percaya bulat-bulat,” tulis Dr. Akmal secara sinis.

Beliau turut menyertakan pautan daripada sumber yang dipercayai, bagi membuktikan bahawa Kesultanan Melayu Melaka telah diasaskan seawal tahun 1400, jauh sebelum kurun ke-17 seperti yang didakwa Ronnie menerusi peta yang dikongsikannya.

“Map yang kamu dapat dari WhatsApp tu kononnya dari kurun ke-17, tapi Kesultanan Melayu Melaka dah wujud sejak 1400. Mana mungkin peta itu benar jika sejarah membuktikan sebaliknya?” soal Akmal.

Akmal juga menegaskan bahawa gugusan Kepulauan Melayu — termasuk Semenanjung Tanah Melayu — dikenali sebagai Malay Archipelago, bukan “Bar Chin” atau “Tanah China” seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Kecaman Dr. Akmal hadir sebagai respons kepada kenyataan Ronnie Liu, yang mendakwa bahawa “Tanah Melayu hanyalah konsep pra-Merdeka oleh satu kaum,” serta menolak Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian daripada Tanah Melayu. Ronnie turut menyatakan bahawa Melaka dan Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada Straits Settlements sejak beratus tahun sebelum kemerdekaan 1957.

Mengulas lanjut, Dr. Akmal berkata bahawa Ronnie sepatutnya membuat kajian sejarah yang sahih dan tidak bergantung kepada sumber tidak berautoriti.

“Kalau tak pandai membaca, saya boleh buat kelas membaca untuk kamu,” tambah beliau secara sarkastik.

Dalam nada yang lebih serius, Akmal menggesa rakyat Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang cuba memesongkan fakta sejarah, terutamanya apabila ia membabitkan identiti dan warisan bangsa.

“Kepada yang percaya pada kenyataan Ronnie Liu, tolonglah buat kajian sedikit. Baca, faham dan hadam sejarah negara kita,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat