Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) telah menyampaikan watikah pelantikan kepada 10 Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) bersempena dengan Program Latihan Khidmat Negara 3.0 (PLKN 3.0) telah berlangsung di Wisma Pertahanan, dekat sini pada Isnin.
Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan tersebut telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 14 April lalu.
“Tempoh pelantikan yang telah diperturunkan kepada ahli MLKN adalah selama 3 tahun lantikan sehingga pelantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong, ”katanya dalam kenyataan.
“Pelantikan ini adalah selaras dengan Seksyen 7, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628) yang memperuntukkan bahawa MLKN perlu ditubuhkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang strategik bagi membantu merangka dasar, menyelia pelaksanaan, serta menasihati kerajaan berkaitan hala tuju PLKN, ”katanya lagi.
“Pelantikan juga telah mengambil kira representatif pelbagai kaum di Malaysia, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
“Melalui pelantikan ini, ahli- ahli MLKN adalah bertanggungjawab dalam memberi nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.
“Selain itu, mereka turut berperanan dalam memastikan tadbir urus kewangan yang cekap, menjaga kebajikan pelatih, dan menilai keberkesanan modul latihan secara berterusan,”tambahnya.
Mendahului senarai, bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-16, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Zainal telah dilantik sebagai Pengerusi MLKN.
Manakala ahli MLKN mewakili kerajaan terdiri daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; KSU Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Ts. Dr. Hj Aminuddin Hashim; KSU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Aneese Ibrahim; KSU Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu; dan KSU Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr. Maziah Che Yusoff.
Lima lagi Ahli MLKN yang dilantik mewakili kaum utama ialah Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Soon Honn Keong; dan Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr Sivamurugan Pandian
Wakil Sabah pula Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abang Shahminan Abang Sahari.
Turut hadir, PAT Jeneral Datuk Hj. Mohd Nizam Jaafar; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Dato’ Hj. Ya’cob Samiran; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim; dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Hj Ludin.
Dalam pada itu, turut berlangsung Pelancaran PLKN 3.0 melibatkan perlaksanaan PLKN 3.0 Siri 2/2025 yang akan bermula pada 11 Mei sehingga 24 Jun ini merangkumi 45 hari.
PLKN 3.0 Siri 2/2025 akan melibatkan dua kem iaitu Kem Rejimen Askar Wataniah 515, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen Askar Wataniah 505, Pekan, Pahang.
Untuk rekod, konsep PLKN 3.0 dibangunkan berteraskan Akta Latihan Khidmat Negara (Akta 628), Dasar Keselamatan Negara (DKN), Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar berkaitan dengan gabungan dua komponen penting iaitu Komponen Utama Latihan Khidmat Negara dan Komponen Keberhasilan Latihan Khidmat Negara.- SUARA.TV